Kamera pada Google Pixel 2 dinobatkan sebagai yang terbaik tahun lalu menurut DXOMark. Dari beberapa ulasan yang kami baca di atas talian, ini dipersetujui oleh pengguna dan pengulas seluruh dunia. Setiap peranti Pixel 2 dilengkapi cip Pixel Visual Core yang mempertingkatkan lagi kemampuan mengambil gambar dengan sokongan HDR+.
Sebelum ini Pixel Visual Core hanya boleh digunakan pada aplikasi kamera Pixel 2. Google hari ini mengumumkan ia kini turut boleh digunakan pada aplikasi pihak ketiga seperti Snapchat, Instagram dan WhatsApp. Dengan Pixel Visual Core, gambar yang diambil untuk aplikasi pihak ketiga bukan sahaja lebih terang tetapi lebih jelas memaparkan imej serta tajam. Kemaskini untuk pengaktifan fungsi ini akan diberikan secara OTA secara berperingkat.