Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai laptop yang dibina khusus untuk gaming, spesifikasi yang hadir biasanya termasuklah CPU dari Intel dan kad grafik daripada NVIDIA. AMD baru sahaja mengumumkan kehadiran APU Raven Ridge mereka, tetapi laptop-laptop yang bakal hadir dengan cip pemprosesan tersebut masih lagi belum hadir di pasaran.

Tahun lepas, ASUS ada menunjukkan prototaip sebuah laptop yang hadir dengan CPU AMD Ryzen dan kad grafik AMD Radeon di acara COMPUTEX Taipei. Laptop tersebut kemudiannya diberikan nama ASUS STRIX GL702Z, dan ia hadir dengan spesifikasi yang tidak jauh berbeza berbanding dengan prototaip tersebut.

Ia digerakkan oleh CPU AMD Ryzen 7 1700 yang mempunyai 8 teras dan 16 bebenang kuasa pada kelajuan 3.0GHz, memori DDR4 sebanyak 8GB, storan SSD M.2 sebesar 256GB dan cakera keras 1TB. Dari segi grafik pula laptop GL702Z ini hadir dengan kad grafik AMD Radeon RX580 dengan memori grafik GDDR5 sebanyak 4GB.

Dari segi paparan, laptop ini menggunakan skrin IPS bersaiz 17.3 inci pada resolusi Full HD (1920×1080 pixel) dengan kadar segar semula 60Hz. Laptop ini juga dilengkapi dengan port I/O yang cukup banyak, termasuklah tiga port USB 3.1 Type-A, satu port USB 3.1 Type-C dan sebuah port HDMI.

Laptop ASUS STRIX GL702Z ini sudahpun hadir di pasaran Malaysia, dan boleh dibeli pada harga RM7099 di kedai-kedai penjual laptop dan komputer di seluruh Malaysia. Menurut pihak ASUS Malaysia lagi, setiap pembelian laptop ini akan disertakan bersama sebuah backpack ASUS ROG dan juga langganan Microsoft Office 360 untuk sebulan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd