Carian
Facebook Dilaporkan Akan Menawarkan Perkongsian Keuntungan Iklan Dengan Penghasil Kandungan Video Bagi Menyaingi YouTube
February 6, 2018 • Effi Saharudin

Menjadi seorang YouTuber ialah antara kerjaya yang tidak wujud hanya sedekad yang lalu. Kini terdapat ramai insan yang menjana pendapatan dengan menghasilkan kandungan video pada platform YouTube. Kesemua ini adalah kerana wujudnya sistem perkongsian keuntungan iklan di antara mereka dan YouTube.

Facebook Live Adbreak

Menurut CNBC, Facebook kelak akan menawarkan perkongsian keuntungan iklan kepada penghasil kandungan video di platform mereka. Ini adalah untuk menarik penghasil kandungan YouTube untuk berpindah ke platform mereka. Sebelum ini Facebook membayar sehingga $500,000 kepada penghasilan kandungan untuk menghasilkan video eksklusif di platform mereka. Model perkongsian keuntungan iklan dirasakan lebih menguntungkan dalam jangka panjang. Facebook baru sahaja memperkenalkan pengiklanan pada pertengahan video setahun yang lalu.

Umum diketahui ramai YouTuber merungut pendapatan  mereka terjejas selepas kontroversi melibatkan PewDiePie dan Logan Paul. Adpocalype mengakibatkan pengiklan menarik diri sehingga memaksa YouTube mengetatkan syarat paparan iklan pada video yang dimuat naik. Bagi YouTuber, apa yang ditawarkan oleh Facebook ini mungkin lebih menguntungkan jika kandungan mereka kerap dicuri dan di muat naik semula tanpa kebenaran tetapi menerima tontonan yang lebih tinggi.

Jika video boleh menjana pendapatan dari Facebook, mereka boleh terus menggunakan platform ini dan kelak kerjaya sebagai “Facebooker” mungkin akan menggantikan kerjaya sebagai YouTuber.

Komen