Telefon Pintar Menggunakan Modem 5G Daripada Qualcomm Akan Hadir Pada 2019

Telefon Pintar Menggunakan Modem 5G Daripada Qualcomm Akan Hadir Pada 2019

Diterbitkan pada Feb 8, 2018 oleh .

Qualcomm hari ini telah mengumumkan penawaran modem Snapdragon X50 5G NR kepada para pengeluar peranti, sekaligus membolehkan pelbagai pengeluar peranti menawarkan peranti dengan sokongan 5G seawal tahun 2019 kelak.

Melalui modem daripada Qualcomm ini, ia menawarkan sokongan rangkaian 5G dibawah piawaian 5G NR dan menyokong gelombang sub-6 GHz. Dengan penggunaan sokongan rangkaian 5G ini, ia sekaligus akan meningkatkan kadar muat-turun dan naik pada semua peranti – sekaligus menawarkan pengalaman yang lebih baik ketika melayari web, memuat-turun, membuat panggilan video, menikmati video UHD, selain penstriman kandungan dan akses ke perkhidmatan berasaskan awan.

Pada pengumuman hari ini, Qualcomm mengumumkan sejumlah rakan kerjasama yang akan menggunakan modem ini pada peranti seawal 2019 kelak, termasuk antaranya adalah Asus, HMD Global, HTC, LG, Sony Mobile, Oppo, Vivo, Xiaomi, ZTE dan sebagainya.

Dengan pengumuman ini juga, kita boleh melihat pelbagai ujian terbuka untuk rangkaian 5G mula dilakukan bermula tahun ini.

Sebelum ini, menurut ramalan daripada pihak Ericsson, mereka menyasarkan untuk penawaran rangkaian 5G secara meluas di Malaysia menjelang 2022 kelak.


TIPS & ULASAN