Cari @ Amanz

Nilai kriptowang dilihat menjunam bagai Evil Knievel yang jatuh setelah terlepas lompatannya, tetapi nampaknya masih ada syarikat pembuat komponen komputer yang masih mengeluarkan komponen-komponen untuk tujuan tersebut.

GIGABYTE baru-baru ini mengumumkan kehadiran papan induk tujuan melombong kriptowang yang dinamakan GIGABYTE B250-FinTech yang hadir dengan 12 slot PCIe yang mampu menyokong sehingga 12 kad grafik.

Papan induk ini hadir dengan beberapa ciri yang cukup menarik sekali untuk melombong kriptowang. 12 slot PCIe tersebut semuanya hadir dengan sokongan terus kepada CPU, dan tidak dipisahkan seperti apa yang dilakukan oleh papan induk biasa yang lain. Ini adalah untuk memastikan bahawa semua kad-kad grafik yang digunakan boleh dikesan tanpa sebarang masalah.

Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan dua sambungan kuasa 12V PCIe yang memastikan kuasa yang dihantar kepada kad-kad grafik ini stabil dan tidak merosakkan kad-kad grafik yang digunakan. Ini juga digabungkan dengan kabel kuasa 24-pin 3-dalam-1 yang mampu menyambungkan tiga bekalan kuasa kepada satu papan induk untuk memastikan bahawa kesemua kad-kad grafik tersebut mendapat kuasa yang mencukupi.

Malah, GIGABYTE juga telah melengkapi papan induk ini dengan ciri baru yang dinamakan Mining Mode untuk mengoptimasikan lombongan kriptowang supaya ia lebih cekap.

Buat masa ini, GIGABYTE masih belum mengumumkan tarikh pengeluaran papan induk ini, dan juga harganya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd