Storan dalaman peranti pintar dengan sistem operasi Android mudah penuh jika anda kerap memuat turun fail-fail seperti muzik, video, gambar ataupun memasang aplikasi menerusi Play Store. Jika anda menggunakan aplikasi-aplikasi media seperti Spotify Premium, Netflix ataupun iFlix data-data cache juga boleh memenuhi storan dalaman peranti-peranti anda. Ini akan menjadi masalah kepada sesetengah pengguna.
Apabila storan dalaman peranti-peranti anda berkurangan, anda akan menjadi buntu dan banyak menghabiskan masa dalam menyusun atau mengorganisasikan data-data anda. Di sini, kami memberi anda beberapa tips mudah untuk menguruskan memori storan dalaman anda.
1.Gunakan Smart Storage dari Android
Dalam tetapan peranti-peranti Android terkini terdapat satu tetapan bernama “Storan”. Di dalam tetapan ini mempunyai fungsi untuk menguruskan data-data anda. Antaramuka pengurusan storan ini berbeza mengikut versi Android yang digunakan.
Android 8.0 Oreo
Dalam Android 8.0 Oreo, butiran storan dalaman dipaparkan dengan lebih terperinci. Senarai-senarai jenis fail dan data anda boleh dilihat dengan lebih jelas kerana ia tersusun mengikut kategori. Contohnya, apabila anda memilih “Foto & Video”, ia bukan sahaja paparkan foto dan video milik anda tetapi juga aplikasi-aplikasi berkaitan.
Tidak semua aplikasi akan berada dalam kategori yang telah ditetapkan. Terdapat pilihan lain seperti “Apl Lain” iaitu aplikasi-aplikasi lain. Sama juga dengan fail-fail yang sistem Android tidak dapat kenal pasti ia akan berada di bahagian “Fail”.
Antara cara mudah untuk anda mengurangkan penggunaan storan dalaman anda adalah dengan memilih “Kosongkan Ruang”.
Dalam tetapan ini, anda boleh memilih fail-fail dan data-data untuk dibuang atau terus pilih bahagian bawah sekali “Kosongkan xxGB”. Jika anda rasa itu tidak mencukupi, anda juga boleh pilih aplikasi-aplikasi yang anda jarang atau yang sudah lama anda tidak gunakan.
Contoh yang kami tunjukkan ini adalah pada aplikasi Netflix yang berada dalam kategori “Apl Filem & TV” iaitu aplikasi-aplikasi yang berkaitan dengan video-video seperti filem atau drama daripada langganan premium. Jika anda sudah tidak mahu mendengar lagu-lagu atau menonton filem-filem dan drama dalam ini anda pilih aplikasi yang berkaitan dan terus tekan “Padam Bersih Data” dan juga “Kosongkan Cache”. Harus diingatkan jika anda mengambil pilihan ini ini, aplikasi yang telah anda log masuk akan di log keluar. Begitu juga dengan aplikasi lain, anda boleh melihatnya secara manual satu-persatu dan pilih yang anda rasa anda perlu dibuang.
Android 7.0 Nougat ke bawah
Hampir sama dengan Android 8.0 Oreo di atas, tetapi tetapan dalam Android 7.0 versi Nougat tidak terperinci seperti yang ditemui pada Oreo.
Anda pilih sahaja mana-mana aplikasi yang anda rasa memakan banyak ruang dalam storan dalaman anda. Tekan dan lihat maklumat memori yang telah digunakan. Tekan “Padam Bersih Data” dan juga “Kosongkan Cache”.
Dari sini anda akan boleh lihat dengan jelas storan dalaman anda akan makin bertambah dan anda telah berjaya mendapatkan lebih ruang storan untuk anda gunakan. Semasa anda memasang aplikasi-aplikasi baru, anda boleh lihat di dalam maklumat aplikasi di Play Store berapa banyak storan asas yang akan diperlukan. Begitu juga ketika membuat turun fail-fail dari pelayar web, lihat dahulu baki storan anda dan saiz fail yang bakal dimuat turun.
2.Urus Storan Anda Menggunakan Files Go
Tetapan dalam Android tadi tidak menunjukkan maklumat lengkap seperti maklumat storan yang digunakan oleh folder-folder yang anda cipta. Aplikasi percuma dari Google Files Go ini boleh membantu anda. Antaramuka maklumat storan dalam aplikasi ini ditunjukkan dalam bentuk “Cards”. Jika anda rasa ”Cards” yang dipaparkan tidak relevan, anda boleh menatal ketepi untuk melupakan isi kandungan kategori itu.
Pilih “Cards” yang anda ingin uruskan, contoh yang kami tunjukkan ini adalah dalam “Cards” “Fail Besar”. Anda boleh terus pilih “Kosongkan xxGB” atau tekan tajuk “Cards” dan pilih satu per satu fail-fail dan data-data yang dikatakan besar oleh Files Go untuk dibuang.
Aplikasi Files Go ini juga mempunyai satu bahagian yang dinamakan “Fail”. Bahagian ini hampir sama dengan tetapan dalam Android versi 7.0 Nougat dan ke atas. Tetapi dalam aplikasi ini antaramukanya lebih kemas dan lebih mudah untuk difahami.
Pilih salah satu kategori, contoh yang kami tunjukkan ini ialah kategori Dokumen”. Di dalam “Dokumen” ini terdapat tab yang menunjukkan fail-fail dan data-data yang dikategorikan sebagai dokumen yang terdapat dalam setiap aplikasi-aplikasi dalam peranti Android anda.
Dari sini anda juga boleh pilih satu persatu fail-fail dan data-data untuk diuruskan seperti membuang, menamakan semula, atau menghantarkannya ke lokasi yang lain. Anda juga boleh menyusun fail-fail ini mengikut saiz bagi memudahkan kerja-kerja urusan storan anda.
3.Menggunakan Storan Awan
Kadangkala storan dalaman peranti Android anda penuh dan anda tidak mahu membuang fail-fail penting kepada anda ataupun mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Di dalam situasi ini membuat sandaran kepada storan awan adalah cara yang terbaik.
Storan awan tidak mengambil ruang dalaman peranti anda tetapi sebaliknya menggunakan internet dan server yang disediakan oleh perkhidmatan storan awan pilihan anda. Dua contoh yang kami tunjukkan di sini adalah menggunakan Google Photos dan juga Google Drive.
Google Photos
Jika anda menggunakan siri Google Pixel atau Pixel 2 storan awan untuk foto dan video yang bersaiz asli (saiz besar) adalah tanpa had. Ia percuma seumur hidup bagi Pixel dan untuk tiga tahun untuk Pixel 2. Setiap pengguna Android diberikan kuota storan Google Photos percuma sebesar 15GB. Anda boleh memilih membuat sandaran dengan menggunakan data internet, WiFIatau kedua-keduanya sekali.
Akan ada satu logo awan dengan tanda ✅ menunjukkan anda sudah berjaya membuat salinan foto dan video anda ke storan awan.
Selepas itu anda boleh menatal ke kanan atau tekan menu yang mempunyai logo 3 baris untuk memilih “Kosongkan Ruang”. Apabila anda memilih ini, Google akan mengesan semua foto dan video anda di dalam peranti anda dan membuangnya. Jangan risau, Google mempunyai sistem yang sangat pintar ia hanya akan memadam foto dan video yang sudah berjaya disalin ke storan awan.
Google Drive
Berbeza dengan Google Photos, dalam Google Drive ia tidak mempunyai fungsi untuk mengesan fail-fail dan data-data yang telah anda salinkan. Tetapi anda perlu memadamkan seperti yang kami terangkan di atas.
Cara menggunakan Google Drive juga mudah. Tekan butang “Tambah” yang terletak pada bucu bawah sebelah kanan. Pilih “Muat naik” dan pilih fail yang ingin disalin ke storan awan. Bagi pengguna Pixel dan Pixel 2 storan tanpa had hanya sah pada Google Photos. Jika membuat sandaran pada Google Drive ia akan menggunakan storan 15GB percuma yang diberi oleh Google. Maklumat mengenai storan awan anda boleh juga dilihat di “Tingkatkan Storan” dan pilih “Urus Storan”.
Jika tidak mencukupi, anda boleh membuat langganan storan awan tambahan dengan harga serendah 100GB pada harga RM8.49 sebulan dan 30TB pada harga RM1289.99 sebulan. Jika anda membuat membuat langganan terus selama tahunan anda boleh menerima potongan harga sebanyak beberapa peratus. Seperti contoh langganan 100GB selama setahun adalah RM84.99, penjimatan sebanyak RM16.89 di situ.
Ini adalah tips untuk menjimatkan ruang pada peranti Android anda. Terdapat banyak lagi alternatif lain seperti menggunakan perkhidmaytan storan awan lain seperti Dropbox atau OneDrive. Anda juga boleh membeli pemacu USB OTG untuk memindah data dari peranti anda ke komputer.