Google Maps merupakan salah satu aplikasi pemetaan yang digunakan ramai untuk tujuan navigasi, menemui lokasi baru, dan tidak kurang juga untuk berkongsi lokasi semasa dalam bentuk masa-nyata bersama-sama rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain.
Terkini, melalui versi baru aplikasi Google Maps, pihak Android Police mendapati kod-kod baru yang akan membolehkan pengguna turut berkongsi info tambahan seperti masa bertahan bateri ketika berkongsi lokasi semasa.
Ini akan amat berguna ketika anda berkongsi lokasi masa-nyata bersama rakan, terutamanya ketika bateri peranti anda hampir ingin mati dan sebagainya. Ia akan membolehkan rakan anda mengetahui status semasa – dan tidak terkejut sekiranya perkongsian lokasi semasa anda hilang secara tiba-tiba.
Buat masa ini, ia masih pada peringkat pembangunan – dan tidak diketahui lagi sama ada akan diperkenalkan kepada semua atau sebaliknya.