Cari @ Amanz

Corsair merupakan sebuah jenama pembuat perkakasan dan aksesori yang terkenal. Papan kekunci Corsair boleh dikatakan diantara yang paling popular di pasaran dunia, dan hadir dengan pelbagai saiz dan pilihan suis mekanikal.

Syarikat tersebut baru sahaja memperkenalkan papan kekunci mekanikal terbaru mereka yang berdasarakan papan kekunci mekanikal Corsair K63. Hadir dengan rekaan tenkeyless dan menggunakan suis mekanikal Cherry MX Red, papan kekunci K63 baru ini kini hadir dengan ciri baru, iaitu sokongan untuk sambungan tanpa wayar Bluetooth 4.2.

Dari segi rekaan, papan kekunci Corsair K63 ini sama seperti model sebelum ini, dengan satu sahaja perbezaan utama selain daripada sokongan Bluetooth 4.2, iaitu penggunaan LED warna biru pada setiap kekunci papan kekunci tersebut, berbanding dengan LED berwarna merah yang hadir pada model K63 yang asal.

Corsair juga menyatakan bahawa papan kekunci K63 ini akan bertahan selama 20 jam dengan satu pengecasan penuh, dan jika pengguna mahu, mereka masih boleh menggunakan kabel USB untuk menyambung papan kekunci tersebut terus ke komputer.

Menariknya, papan kekunci ini juga menyokong aksesori Corsair Lapdog yang membolehkan pengguna meletakkan papan kekunci ini di bahagian peha kaki anda jika anda menggunakan HTPC dan sebagainya.

Harga papan kekunci ini ditetapkan pada $109 (RM440) dan kini sudahpun hadir di pasaran-pasaran terpilih di seluruh dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd