AMD Memperkenalkan Ryzen Desktop APU – Cip Pemprosesan AMD Yang Menggabungkan CPU Ryzen dan GPU Vega
AMD

AMD Memperkenalkan Ryzen Desktop APU – Cip Pemprosesan AMD Yang Menggabungkan CPU Ryzen dan GPU Vega

Diterbitkan pada Feb 13, 2018 oleh .

Tahun lepas, AMD hadir dengan CPU AMD Ryzen yang mengejutkan dunia perkomputeran, menggabungkan prestasi yang hebat, ciri-ciri menarik dan juga harga mampu milik.

Hari ini, AMD mengumumkan bahawa APU (Accelerated Processing Unit) terbaru mereka, yang dinamakan AMD Ryzen Desktop APU kini hadir di pasaran dunia melalui dua model APU, termasuklah AMD Ryzen 5 2400G dan AMD Ryzen 3 2200G.

APU Ryzen 5 2400G hadir dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa dan hadir dengan kelajuan CPU maksimum 3.9GHz yang digabungkan dengan cip grafik RX Vega 11 yang mempunyai 11 Graphic Compute Units pada kelajuan 1250MHz.

Ryzen 3 2200G pula mempunyai empat teras dan empat bebenang kuasa pada kelajuan maksimum 3.7GHz dan dipadankan dengan cip pemprosesan grafik RX Vega 8 yang mempunyai lapan Graphic Compute Units pada kelajuan 1100MHz.

Menurut AMD, APU Ryzen 5 2400G ini mempunyai prestasi yang sama dengan sebuah CPU Intel Core i5-8400 yang digabungkan dengan sebuah kad grafik GT 1030. Ia juga  156 peratus lebih laju dari segi pemprosesan grafik dan 21 peratus lebeih pantas dari segi perkomputeran berbanding dengan CPU yang sama,

Sama seperti CPU AMD Ryzen, APU Ryzen yang terbaru ini juga hadir dengan ciri-ciri menarik seperti overclocking dan pengubahsuaian tetapan memori dan kad grafik untuk kedua-dua model ini melalui perisian AMD Ryzen Master.

APU AMD Ryzen ini juga menggunakan papan induk AM4 yang sama yang digunakan oleh CPU AMD Ryzen sebelum ini. Jika anda sudahpun mempunyai sebuah papan induk ini, anda hanya perlu memuat turun kemaskini BIOS yang membenarkan anda menggunakan APU ini dengan papan induk tersebut.

AMD Ryzen Desktop APU ini sudahpun hadir di pasaran dunia, dan harga untuk kedua-dua APU ini ditetapkan pada $169 (~RM676) untuk AMD Ryzen 5 2400G, manakala AMD Ryzen 3 2200G pula ditetapkan pada harga $99 (~RM400). Kami akan cuba mendapatkan harga tempatan pada masa yang terdekat ini.


TIPS & ULASAN