Cari @ Amanz

Salah satu cara yang termudah untuk anda memperbaiki prestasi komputer anda tanpa perlu menukar CPU ataupun menambahkan memori ialah untuk memasang sistem operasi anda ke sebuah SSD (Solid State Drive).

Apabila storan SSD ini diperkenalkan, ia hadir dengan prestasi yang cukup pantas sekali, tetapi mempunyai beberapa penghalang yang membuatkannya cukup sukar untuk dimiliki, termasuklah kapasiti yang rendah, disamping harga yang cukup mahal sekali.

Dengan peredaran teknologi, kos pembinaan sebuah SSD beserta dengan rekaan dan ciri-ciri seperti kepantasan lebih laju, dan juga jangka hayat yang lebih panjang pada harga yang lebih murah. Meskipun begitu, ratio storan-kepada-harga SSD ini masih cukup mahal lagi, terutamanya bagi SSD dengan storan sebesar 1TB dan keatas.

Western Digital, sebuah syarikat pembuat storan yang terkemuka di dunia ingin mengubah semua itu dengan SSD terbaru mereka, iaitu WD Blue 3D SSD yang menggunakan teknologi peninidihan NAND 3D,

Spesifikasi Dan Rekaan

Kebelakangan ini, SSD hadir dengan beberapa rekabentuk baru, yang memudahkannya untuk digunakan didalam komputer dan juga komputer riba moden.

WD Blue 3D SSD ini hadir dengan dua rekaan, termasuklah rekaan 2.5 inci yang biasa dilihat pada SSD, dan juga rekaan M.2, yang kelihatan lebih seperti sebatang memori SDRAM yang boleh dipasang malalui slot M.2 yang kini semakin biasa pada papan-papan induk dan juga laptop.

Salah satu kelemahan storan SSD ialah kebanyakannya hanya hadir dengan pilihan storan sebesar 512GB, dan hanya sebilangan kecil jenama sahaja mempunyai storan lebih daripada 1TB. WD Blue 3D SSD ini hadir dengan pilihan SSD yang cukup banyak, termasuklah 250GB, 500GB, 1TB dan 2TB.

SSD ini boleh disambungkan kepada komputer ataupun laptop melalui sambungan SATA III 6.0Gbps yang secara teorinya, membolehkan kelajuan penghantaran data pada kadar 500 hingga 600MB/s.

Apa yang menarik mengenai SSD ini bukanlah kelajuan penghantaran datanya, tetapi kebolehan Western DIgital untuk mencipta sebuah SSD yang hadir dengan storan data bersaiz 2TB yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Dengan menggunakan teknologi 3D NAND mereka, Western Digital mampu memuatkan data sebanyak 2TB ini didalam sebuah komponen yang cukup kecil sekali, terutamanya jika anda membeli model SSD M.2.

Prestasi

Seperti yang dikatakan sebelum ini, SSD Western Digital Blue 3D ini menggunakan sambungan SATA III 6.0Gbps yang secara teorinya hadir dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data selaju 500 hingga 600 MB/s.

Untuk menguji prestasi SSD WD Blue 3D ini, kami menggunakan beberapa perisian penanda aras storan, termasuklah CrystalDiskMark dan AS SSD. Selain dari itu, kami juga melakukan ujian pemindahan data dari dan ke SSD ini untuk menguji penggunaan dunia sebenar dengan memindahkan data sebesar 1GB dan 10GB untuk melihat selaju manakah SSD ini mampu menggerakkan data.

Kedua-dua perisian CrystalDiskMark dan AS SSD ini memperlihatkan kadar penghantaran dan pembacaan data dalam lingkungan 400 hingga 500MB/s, dan pada hemat kami, ini merupakan kelajuan yang biasa untuk mana-mana SSD yang menggunakan sambungan SATA III.

Kelajuan penghantaran dan pembacaan data biasa juga menunjukkan nombor-nombor yang hampir sama, dan bagi kami, ini adalah dalam jangkaan dari segi senario penggunaan dunia sebenar untuk SSD-SSD seperti ini.

Patutkah Saya Membelinya?

Dari segi prestasi, WD Blue 3D SSD ini boleh dikatakan setaraf dengan kebanyakan storan SSD yang menggunakan teknologi sambungan SATA III di luar sana. Kelebihan SSD ini hadir melalui jumlah storannya yang besar dan juga reka bentuk 3.5 inci dan juga M.2.

Harga storan WD Blue 3D SSD ini juga tidaklah begitu murah, akan tetapi jika anda memerlukan storan SSD yang besar untuk komputer ataupun laptop, kami boleh katakan bahawa siri SSD ini hadir dengan jumlah storan yang paling besar diantara model-model SSD lain yang berada di pasaran.

Tanda harga untuk SSD-SSD ini adalah seperti berikut:

WD Blue 3D SSD 2.5 inci:

  • WD Blue 3D SSD 2.5 inci 250GB – RM620
  • WD Blue 3D SSD 2.5 inci 500GB – RM1100
  • WD Blue 3D SSD 2.5 inci 1TB – RM2000
  • WD Blue 3D SSD 2.5 inci 2TB – RM3800

WD Blue 3D SSD M.2 2280:

  • WD Blue 3D SSD M.2 2280 250GB – RM640
  • WD Blue 3D SSD M.2 2280 500GB – RM1150
  • WD Blue 3D SSD M.2 2280 1TB – RM2100
  • WD Blue 3D SSD M.2 2280 2TB – RM3950
PRO dan Kelebihan
  • Pilihan storan dan saiz komponen yang cukup banyak
  • Mudah untuk dipasang dan digunakan
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga
  • Prestasi SATA III sahaja

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd