Cari @ Amanz

Xiaomi hari ini telah mengadakan sebuah acara khas di India, dimana mereka telah melancarkan siri peranti Redmi Note 5 untuk pasaran berkenaan. Secara kasarnya, penawaran Redmi Note 5 adalah lebih kurang sama seperti peranti Redmi 5 Plus yang telah ditawarkan di Malaysia sejak minggu lepas.

Menariknya, selain model biasa, Xiaomi turut memperkenalkan satu lagi telefon pintar baru iaitu Redmi Note 5 Pro. Redmi Note 5 menggunakan skrin 5.99-inci dengan nisbah skrin 18:9, dan paparan FHD+.

Redmi Note 5 Pro

Redmi Note 5 Pro hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 636 yang menawarkan pemprosesan berkuasa, bersama-sama dengan Kyro 260. Xiaomi mengatakan dengan CPU ini, ia menawarkan pemprosesan yang lebih baik ketika memainkan permainan video atau apa-apa kandungan multimedia. Melalui ujian penanda aras yang dilakukan Xiaomi, ia mencatatkan skor AnTuTu sebanyak 109,692. Menariknya Redmi Note 5 Pro ini juga hadir dengan penawaran memori sehingga 6GB RAM LPDDR4X. Dengan penyertaan ini, ia sekaligus menjadikan Redmi Note 5 Pro adalah peranti paling berkuasa dibawah siri Redmi Note sehingga kini.

Redmi Note 5 Pro

Melengkapkan telefon pintar ini adalah dwi-kamera belakang, selain pengimbas cap jari yang disertakan pada bahagian belakang. Redmi Note 5 Pro menggunakan gabungan kamera 12MP Sony IMX 486 dan 5MP daripada Samsung. Melalui penggunaan dwi-kamera ini, ia sekaligus membolehkan rakaman gambar berbentuk bokeh dan sebagainya – selain penyertaan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk menghasilkan gambar yang cantik.

Untuk kamera hadapan, Redmi Note 5 Pro menggunakan sensor 20-megapixel Sony IMX376, dan dilengkapi sokongan lampu LED hadapan. Xiaomi mengatakan ia turut menyertakan ciri dinamakan Potrait Selfie – dimana ia menggunakan sokongan pembelajaran mesin dan algoritma khusus untuk menghasilkan gambar berbentuk bokeh dan sebagainya.

Redmi Note 5 Pro

Dengan pelbagai spesifikasi tinggi dan penawaran kamera yang baik, Xiaomi turut akan menyertakan sokongan nyah-kunci berasaskan wajah untuk telefon pintar berkenaan. Dari segi bateri, ia menggunakan bateri berkapasiti 4000mAh.

Redmi Note 5 Pro dengan 6GB RAM akan ditawarkan pada harga Rs16,999 iaitu sekitar RM1041 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd