Semalam kami melaporkan bahawa NVIDIA bakal memperkenalkan kad grafik baru menggunakan cip grafik Volta yang hadir dengan nama samaran “Turing” pada bulan Mac kelak.
Laporan tersebut, yang disumber dari Reuters menyatakan bahawa kad grafik NVIDIA Turing ini akan hadir untuk golongan gamer dikatakan mungkin tidak benar, oleh kerana NVIDIA juga telahpun mengumumkan bahawa kad grafik Ampere akan menggantikan siri kad grafik GTX 10XX pada tahun ini untuk golongan gamer.
Menurut Digital Trends pula, kedua-dua kad grafik NVIDIA Ampere dan Turing ini akan hadir untuk segmen yang berbeza. Kad grafik NVIDIA Ampere dikatakan akan diperkenalkan untuk gamer melalui nama siri GeForce GTX 20XX, manakala kad grafik NVIDIA Turing pula akan diumumkan untuk pelombong kriptowang.
Ini boleh dikatakan sebagai langkah yang masuh akal oleh NVIDIA kerana kad grafik “Turing” ini dinamakan bersempena Alan Turing, saintis yang bertanggungjawab menyahsulit teknologi penyulitan mesej Enigma Code yang digunakan oleh pihak Nazi.
Walaupun begitu, buat masa ini tiada apa-apa berita yang kukuh mengenai kehadiran kedua-dua kad grafik ini, yang berkemungkinan besar akan diumumkan di acara GPU Technology Conference yang akan berlangsung pada penghujung bulan Mac kelak.