Fujifilm X-H1 Dilancarkan – Disasarkan Untuk Pencipta Kandungan Video 4K

Fujifilm X-H1 Dilancarkan – Disasarkan Untuk Pencipta Kandungan Video 4K

Diterbitkan pada Feb 15, 2018 oleh .

Fujifilm sebuah jenama pembuat peranti pengimejan dari Jepun yang cukup terkenal dengan kamera-kameranya. Mereka juga boleh dikatakan salah satu daripada syarikat pelopor yang hadir dengan kamera bersaiz padat, dan kini, mereka baru sahaja mengumumkan kehadiran kamera terbaru mereka yang disasarkan untuk pencipta kandungan video.

Kamera tersebut ialah Fujifilm X-H1, sebuah kamera mirrorless dengan ciri-ciri yang berpadanan dengan keperluan merakam video hari ini. Kamera ini hadir dengan sensor APS-C X-Trans CMOS III bersaiz 24.3MP dan hadir dengan sokongan untuk lensa yang menggunakan X Mount.

Fujifilm tidak terkenal dengan kamera dengan sokongan rakaman video, tetapi dengan kamera X-H1 ini, Fujifilm ingin memfokuskan kepada mereka yang berkecimpung di dalam arena pembuatan video dengan sokongan untuk rakaman 4K (4,096 x 2,160) dan juga penstabilan 5 paksi didalam badan kamera tersebut untuk memastikan rakaman yang stabil dan lancar.

Dalam pada itu, kamera ini juga mempunyai nilai ISO setinggi 51,200 dan mampu mengambil gambar selaju 14 bingkai sesaat. Dari segi binaan pula, ciri utama camera X-H1 ini ialah dua dail yang membolehkan pengguna menukar tetapan-tetapan seperti kelajuan pengatup, ISO, dan juga mod tangkapan dan fokus dengan mudah.

Kamera ini juga mempunyai paparan bersaiz 3.0 inci yang hadir dengan sokongan sesentuh, manakala EVF (Electronic ViewFinder) kamera ini menggunakan paparan OLED yang dikatakan mempunyai sela masa 0.005 saat sahaja.

Fujifilm menyatakan bahawa kamera ini akan hadir di pasaran dunia pada 1 Mac kelak, dan akan dijual pada harga $1900 (RM7600) untuk badan kamera sahaja.


TIPS & ULASAN