Bagi penduduk bandar, IKEA ialah gedung perabot yang menjadi pilihan. Pelbagai perabot yang bergaya dapat dimiliki pada harga yang mampu milik. Tetapi mampu milik tidak bermakna ia tidak berkualiti. Oleh itu IKEA bekerjasama dengan Hasselblad bagi menghasilkan koleksi gambar hiasan rumah yang diambil oleh jurugambar profesional.
Koleksi Norrhassel terdiri daripada tujuh gambar yang diambil oleh Dimitry Ageev, Lars van de Goor, Hans Strand, Bára Prášilová, Ali Rajabi, Tom D. Jones dan Joachim Schmeisser. Kesemua gambar di dalam koleksi ini dipilih kerana dipercayai dapat meningkatkan kreativiti pemilik dan menimbulkan emosi.
IKEA menyedari gambar berkualiti untuk hiasan rumah yang berkualiti tinggi biasanya di luar kemampuan kebanyakan pengguna. Kerjasama dengan Hassleblad yang merupakan nama besar dunia fotografi ini diharap dapat mendemokrasikan seni fotografi kepada lebih banyak pengguna. Kesemua gambar di dalam koleksi Norrhassel akan mula dijual pada Ogos hadapan.