Carian
Pepijat iOS Menyebabkan Aplikasi Pemesejan Tergendala Apabila Menerima Abjad Bahasa Telugu
February 15, 2018 Aman

Apple sejak 2017 lepas dilihat mempunyai pelbagai masalah pepijat melibatkan perisian iOS dan juga macOS. Terkini, hari ini sebuah lagi pepijat baru ditemui yang mana melibatkan bukan sahaja iOS, tetapi juga watchOS dan macOS.

Pepijat baru ini melibatkan penggunaan suatu abjad pada bahasa Telugu, dimana apabila ia dihantar melalui aplikasi permesejan, aplikasi berkenaan tergendala dan gagal beroperasi.

Ia bukan sahaja melibatkan iMessage, tetapi juga aplikasi pihak ketiga seperti Facebook Messenger, WhatsApp, GMail dan sebagainya. Untuk macOS pula, ia dikatakan membuatkan beberapa perisian tergendala, dan antaranya adalah Note dan juga Safari. Namun, ujian turut mendapati yang mana aplikasi seperti Telegram tidak terkesan dengan pepijat ini.

Apa yang mungkin sedikit menyukarkan adalah dimana pengguna tidak boleh membuka aplikasi berkenaan sehingga mesej dengan abjad bahasa Telugu berkenaan dipadam. Sebagai contoh, jikalau anda menerima iMessage dengan abjad berkenaan, aplikasi berkenaan akan tergendala setiap kali anda ingin membukanya, sehinggalah anda memadam ia. Beberapa pengguna berkongsi kaedah untuk memadamkannya, termasuk dengan menghantar SMS kepada anda, dan seterusnya mengakses iMessage melalui notifikasi dan memadam mesej yang mengandungi abjad berkenaan.

Masalah pepijat ini dilihat memberi kesan kepada peranti yang menjalankan iOS 11.2.5. Beberapa pembangun dengan iOS 11.3 mengatakan mereka tidak mempunyai masalah ini – memperlihatkan versi akan datang iOS telah pun mengatasi masalah pepijat ini.

Komen