Huawei sedia menjadualkan acara pelancaran telefon pintar mereka pada 27 Mac kelak di Paris. Pengeluar peranti terkemuka dari China berkenaan dijangka memperkenalkan tiga telefon pintar, iaitu Huawei P20, Huawei P20 Plus dan Huawei P20 Lite.
Kini, menurut XDA-Developers yang menerima akses kepada fail firmware, mereka berkongsi beberapa info awal mengenai peranti akan datang daripada Huawei berkenaan.
Melalui penemuan kod, ia dilihat Huawei P20 Plus kelak akan menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh – sekaligus membolehkan ia digunakan untuk tempoh yang lama.
Disamping itu, ia juga dilihat Huawei akan menyertakan sokongan Always on Display pada telefon pintar ini – lebih kurang sama seperti yang terdapat pada Huawei Mate 10 Pro.
Dari segi perisian, Huawei P20 dilihat akan menjalankan Android 8.1 Oreo dengan EMUI 8.1 bersama-sama dengannya. Ciri-ciri baru EMUI 8.1 masih menjadi tanda tanya buat masa ini.
Kita mungkin mendengar lanjut mengenai telefon pintar akan datang daripada Huawei ini dalam minggu-minggu akan datang.