Cari @ Amanz

APU AMD Ryzen baru sahaja dilancarkan pada minggu lepas, dan ia hadir dengan sokongan untuk papan induk AM4 yang pada asalnya hadir untuk CPU AMD Ryzen pada tahun lepas.

Syarikat-syarikat pembina komponen komputer kebanyakannya sudahpun hadir dengan kemaskini untuk memastikan bahawa papan induk AM4 ini boleh menyokong APU terbaru ini, Akan tetapi, bagi mereka yang lebih gemar memasang komputer sendiri, ini merupakan suatu masalah kerana sebelum BIOS papan induk tersebut dikemaskini, komputer tersebut tidak dapat dihidupkan.

AMD sedar akan masalah ini, dan baru-baru ini telahpun mengumumkan bahawa pembina komputer yang telah membeli APU Ryzen ini boleh menulis laporan pada laman web tuntutan jaminan AMD untuk meminta pihak AMD menghantarkan sebuah Boot Kit, iaitu sebuah unit cip pemprosesan yang boleh digunakan untuk menghidupkan komputer tersebut untuk memasang kemaskini BIOS tersebut.

Menurut AMD, mereka akan menghantar satu unit APUĀ A6-9500 dan penyejuk CPU untuk tujuan tersebut, dan pengguna juga diminta menghantar balik APU tersebut setelah tugas kemaskini tersebut selesai.

Untuk memastikan para pembeli Ryzen APU yang sah sahaja mendapat APU tersebut, mereka juga diminta memasukkan nombor siri produk APU mereka untuk mengurangkan masalah penipuan.

Buat masa ini, AMD tidak menyatakan secara khusus negara-negara manakah yang boleh menerima APU ini, tetapi nama Malaysia tersenarai di laman tersebut. Jika anda menghadapi masalah untuk menghidupkan komputer Ryzen APU anda, mungkin anda boleh mencuba nasib untuk mendapatkan Boot Kit tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd