Samsung akan memperkenalkan Samsung Galaxy S9 secara rasminya pada awal minggu hadapan. Bersempena dengannya, sejumlah informasi berkenaan spesifikasi dan gambar berkenaan telah pun tertiris. Kini, laporan baru hadir daripada HeraldCorp, memperlihatkan salah satu ciri baru yang turut akan disertakan oleh Samsung.
Ia dikatakan Samsung kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah perkhidmatan sosial yang memfokuskan kepada perkongsian lokasi dan permesejan melaluinya.
Samsung buat masa ini telah mendaftarkan beberapa tanda dagang untuk tujuan berkenaan, termasuk antaranya adalah “Uhssup” dan juga “Samsung Social”. Daripada pendaftaran tanda dagang “Uhssup”, ia dikatakan menawarkan perkhidmatan perkongsian masa-nyata bersama rakan-rakan, dan pada masa yang sama berkomunikasi bersama rakan-rakan lain.
Bercakap mengenai Samsung sendiri, ini bukan kali pertama mereka bereksperimen dengan ciri seumpamanya. Sebelum ini, mereka pernah menawarkan aplikasi dinamakan ChatOn untuk permesejan, namun dihentikan selepas beberapa tahun.
Tetapi dengan beberapa aplikasi seperti Samsung Pay, Samsung Cloud dan sebagainya yang mempunyai peminatnya tersendiri – tidak mustahil untuk Samsung mencuba nasib mereka sekali lagi dalam arena sosial ini.