Tahun lalu DJI melancarkan DJI Spark, sebuah dron yang bersaiz kompak yang boleh dikawal dengan gerakan tangan. Laporan terkini dikatakan Samsung juga mempatenkan satu dron yang boleh dikawal dengan cara yang serupa.
Apa yang unik dengan dron yang dipatenkan oleh Samsung ini adalah ia bukan sahaja boleh dikawal dengan arahan tangan tetapi juga dengan mata. Dron Samsung ini mempunyai skrin terbina di bahagian yang boleh mengesan wajah pengguna serta anak mata. Mengikut maklumat yang dipatenkan oleh Samsung, sistem pada dron ini mampu mengesan gerakan tangan, kepala dan juga mata pengguna pada masa nyata. Selain daripada mengawal dron itu sendiri, kelajuan dron ini juga boleh dikawal pada cara yang sama.
Seperti dron-dron lain, dron ini juga mempunyai sensor giroskop, sensor pengesan pergerakan, sensor getaran, sensor pecutan, WiFi, pengesan arahan suara, dan juga GPS.
Seperti lori dengan skrin yang Samsung hasilkan untuk iklan dan juga keselamatan pemandu jalan raya, dron ini mungkin akan fokus pada pengiklanan dan sensor-sensor ini untuk mengesan pergerakan pejalan kaki dan paparkan iklan melalui dron.
Kewujudan paten tidak bermakna ia akan menjadi realiti. Dua tahun yang lalu dron berbentuk UFO dipatenkan Samsung tapi sehingga kini hanya kekal sebagai rekaan di atas kertas.