ASUS Memperkenalkan Peranti Realiti Gabungan ASUS HC102

ASUS Memperkenalkan Peranti Realiti Gabungan ASUS HC102

Diterbitkan pada Feb 21, 2018 oleh .

Peranti realiti maya dan realiti gabungan semakin bertambah kebelakangan ini, dan hadir pada harga yang lebih berpatutan berbanding dengan beberapa tahun lalu, dimana peranti realiti ini hanya mempunyai dua pilihan, iaitu Microsoft HoloLens, Oculus Rift dan HTC Vive.

Terkini, nampaknya ASUS juga bakal memasuki arena peranti realiti gabungan ini, dan baru sahaja mengumumkan kehadiran peranti ASUS Windows Mixed Reality Headset HC102 yang hadir dengan rekaan yang hampir serupa dengan peranti HTC Vive.

Perbezaan yang dapat dilihat dari segi rekaan peranti HC102 berbanding dengan HTC Vive ialah bahagian visor peranti ASUS tersebut boleh ditolak keatas untuk membenarkan pengguna melihat persekitaran sebenar, dan kemudiannya ditutup kembali untuk menggunakan ciri realiti maya atau gabungan.

Tidak seperti peranti realiti maya/gabungan yang lain juga, peranti HC102 ini tidak memerlukan sebarang sensor luaran, seperti yang diperlukan oleh HTC Vive dan Oculus Rift.

Sebaliknya, ASUS menggunakan dua pengawal permainan, yang hadir dengan 32 lampu LED untuk membantu peranti tersebut memetakan persekitaran pengguna, Oleh kerana ini, masa yang diperlukan untuk memasang peranti ini juga cukup pendek sekali, dan tidak akan mengambil masa lebih dari 10 minit.

Dalam pada itu, komponen-komponen yang hadir didalam peranti HC102 ini juga termasuk gyroscope, accelerometer dan magnetometer yang juga membantu mengesan orientasi pengguna.

Dari segi paparan, peranti HC102 ini mempunyai skrin dengan resolusi 2880×1440 pixel yang juga mempunyai kadar segar semula 90Hz, iaitu kadar segar semula minimum yang diperlukan untuk peranti-peranti seperti ini.

Peranti HC102 ini juga dikatakan bukan sahaja akan menyokong 2000 tajuk perisian Steam VR, tetapi juga 20,000 aplikasi realiti maya Windows. termasuklah permainan komputer, video 360 darjah dan juga perisian-perisian lain yang menggunakan teknologi realiti gabungan ini.

Peranti ASUS Windows Mixed Reality Headset HC102 ini dikatakan sudahpun berada di pasaran Amerika Syarikat untuk harga $429 (RM1677). Buat masa ini, sebarang pengumuman mengenai penjualan di pasaran lain masih belum diumumkan lagi.


TIPS & ULASAN