Cari @ Amanz

Peranti realiti maya pada awalnya memerlukan telefon pintar dan komputer untuk berfungsi. Ini membuatkan pergerakan pemakai terhad. Ini menyebabkan peranti realiti maya kendiri dibangunkan bagi membebaskan pemakai dari belenggu kabel dan meningkatkan kemampuannya. Semalam Qualcomm memperlihatkan rekaan rujukan untuk peranti realiti maya kendiri mereka yang diperkasakan oleh pemproses Snapdragon 845.

Ia membawakan beberapa peningkatan berbanding rekaan rujukan Snapdragon 835 sebelum ini. Dengan Snapdragon 845, dua skrin setiap satu dengan resolusi 1024 x 1152 pixel boleh disokong pada kadar 120FPS. Empat kamera turut digunakan dengan dua pada bahagian dalam peranti bagi tujuan menjejak pergerakan mata pemakai. Ia turut mempunyai sokongan pergerakan 6DOF bagi membolehkan pemakai bergerak di dalam dunia maya dengan bebas.

 

Penggunaan cip pemproses Snapdragon 845 dengan GPU Adreno 630 meningkatkan kemampuan grafik sebanyak 30% pada waktu yang sama mengurangkan penggunaan kuasa juga sebanyak 30%. Akhir sekali peranti realiti maya kendiri mempunyai sokongan audio 3D spatial. Dengan wujudnya rekaan rujukan ini, rakan perniagaan Qualcomm dijangka menghasilkan versi mereka dalam bulan-bulan mendatang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd