Google sedia mempunyai penawaran perkhidmatan dinamakan sebagai AdSense, yang mana membolehkan para penerbit dan pemilik web untuk menyertakan kod khusus untuk memaparkan iklan, dan menjana pendapatan melaluinya.
Kini, bergerak kehadapan, Google turut hadir dengan sebuah penawaran baru yang dinamakan sebagai “Auto Ads”. Melaluinya, Google menggunakan pembelajaran mesin untuk mengenal-pasti iklan yang sesuai, dimana perlu memaparkannya, dan berapa banyak iklan perlu dijalankan pada sesuatu masa.
Ia telah diuji dalam bentuk beta sejak tahun lepas, dan kini ia boleh digunakan semua pengguna AdSense dengan menyertakan sebuah kod khusus pada web mereka. Google turut menekankan yang mana penggunaan Auto Ads ini meningkatkan pendapatan pemilik web antara 5 ke 15% berbanding sebelum ini.
Dengan pengenalan Auto Ads ini juga, penerbit dan pemilik web tidak lagi perlu fikirkan dimana perlu memaparkan iklan, dan berapa banyak unit pengiklanan boleh dipaparkan pada web mereka.
Sistem juga turut akan mempelajari interaksi pengguna dan sebagainya – sekaligus memaparkan pengiklanan dengan kaedah yang lebih baik pada masa akan datang.
Walaupun ia kelihatan menarik, namun daripada beberapa penguji awal untuk ciri Auto Ads ini, ia dikatakan kadang-kala sistem boleh memaparkan lebih banyak iklan pada sesuatu laman – sekaligus membuatkan pengguna tidak selesa untuk melawat web mereka. Dengan Google yang kini turut mengawal kualiti pengiklanan melalui Chrome, ia mungkin sesuatu yang baik untuk melihat perkembangan Auto Ads ini.