Penggunaan bot di media sosial mula dipandang berat di Amerika Syarikat kerana ia digunakan untuk menyebarkan berita palsu yang seterusnya mendatangkan impak ke atas pilihanraya presiden 2016. Bot dari Russia digunakan secara massal untuk memberikan kemenangan kepada Donald Trump. Pelbagai platform media sosial mula mengubah polisi bagi membanteras masalah ini.
Twitter mengeluar polis baru mereka mengenai penggunaan sistem automasi dan multi-akaun. Melalui polisi baru ini, penggunaan API Twitter akan dihadkan bagi mengelakkan penyalahgunaan bagi menghantar multi-tweet secara pukal dari pelbagai akaun secara serentak.
Penghantaran Tweet yang sama atau hampir sama berkali-kali tidak lagi dibenarkan. Ini termasuklah menggunakan fungsi menghantar tweet berjadual melalui aplikasi Tweetdeck. Malahan hari ini fungsi menghantar tweet yang sama secara berjadual melalui Tweetdeck tidak lagi boleh digunakan.
Pembangun aplikasi Twitter perlu mematuhi arahan baru ini pada aplikasi mereka sebelum 23 Mac. Kegagalan mematuhi garis panduan baru boleh menyebabkan penggantungan aplikasi dan akaun Twitter pembangun.
Melakukan aksi Like dan Retweet secara pukal, serentak serta automatik juga tidak lagi dibenarkan. Sekiranya anda menggunakan Tweetdeck, anda akan sedari hari ini anda hanya boleh memilih satu akaun pada satu-satu masa untuk melakukan retweet. Sebelum ini Tweetdeck membenarkan multi-akaun dipilih bagi melakukan retweet.
Pilihanraya Umum Malaysia dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat. Dengan penguatkuasaan polisi baru ini, sekurang-kurangnya penyebaran berita palsu di atas talian melalui Twitter dapat dikurangkan.