Intel Dikatakan Tidak Memberitahu Kerajaan Amerika Syarikat Mengenai Kerentanan Meltdown Dan Spectre

Intel Dikatakan Tidak Memberitahu Kerajaan Amerika Syarikat Mengenai Kerentanan Meltdown Dan Spectre

Diterbitkan pada Feb 23, 2018 oleh .

Masalah kerentanan sekuriti Meltdown dah Spectre boleh dikatakan salah satu masalah terbesar yang kini sedang dihadapi oleh Intel, dan dalam beberapa aspek, termasuklah AMD dan ARM.

Reuters baru-baru ini melaporkan bahawa Intel mengetahui mengenai kedua-dua masalah kerentanan ini melalui syarikat Alphabet, yang memberikan laporan sekitar pertengahan tahun lepas, yang juga telah melaporkannya kepada pihak AMD dan juga Softbank, yang memiliki syarikat pembuat prosesor peranti mudah alih ARM.

Intel, yang mengetahui mengenai kerentanan sekuriti ini tidak memberitahu kerajaan Amerika, khususnya United States Computer Emergency Readiness Team (US-CERT) yang berkata bahawa kerentanan ini hanya diumumkan secara rasmi oleh Intel hanya setelah banyak laporan atas-talian mengenainya hadir di arena web.

Menurut Intel, mereka tidak memberitahu US-CERT mengenai kerentanan tersebut kerana mereka tidak rasakan ianya perlu kerana penggodam-penggodam komputer masih belum menggunakan kerentanan tersebut untuk tujuan jahat.

Meltdown Spectre

Dalam pada itu, Intel juga dikatakan mula menjual siri CPU generasi kelapan mereka, Coffee Lake dengan pengetahuan bahawa CPU-CPU tersebut masih mengandungi kerentanan Meltdown dan Spectre, dan hanya baru-baru ini dilihat memperbaikinya.

Menurut Alphabet, mereka akan memberi syarikat-syarikat 90 hari untuk samada memperbetulkan kerentanan yang dijumpa sebelum mengumumkan masalah kerentanan tersebut ke orang awam.

Alphabet juga menyatakan bahawa mereka tidak akan membuat sebarang laporan mengenai kerentanan-kerentanan yang mereka jumpai kepada kerajaan Amerika, dan sebaliknya akan membiarkan syarikat yang mempunyai kerentanan tersebut berbuat demikian.


TIPS & ULASAN