Carian
Nokia 8 Sirocco, 7 Plus Dan 6 (2018) Dilancarkan Dengan Sistem Operasi Android One
February 25, 2018 Effi Saharudin

Nokia telah melancarkan tiga peranti baru yang menggunakan Android One di MWC hari ini. Sebelum ini Android One hanya digunakan pada peranti kelas pertengahan tetapi dengan pengumuman hari ini, peranti utama juga boleh menggunakan sistem operasi ini. Nokia turut mengesahkan kesemua peranti mereka dari Nokia 3 dan ke atas akan menggunakan sistem operasi ini.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan Nokia 8 Sirocco yang dilengkapi skrin 5.5″ P-OLED QHD, dijana pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM, storan sebesar 128GB. Kamera utama menggunakan sensor 12+13 Megapixel f/1.75+f/2.6 dengan sensor sekunder menyokong zoom optikal 2X. Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel f/2.0. Paling menarik mengenai Sirocco ialah rekaan permukaan baru dwi-lengkung pada bahagian hadapan serta belakang. Penggunaan lensa Zeiss pada kamera dikekalkan.

Bateri 3260 mAH digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peranti. Dengan penggunaan panel kaca, Sirocco juga menyokong pengecasan tanpa wayar menggunakan format Qi. Tambahan lagi peranti ini mempunyai ketahanan kalis air IP67. Nokia 8 Sirocco akan dijual bermula April pada harga €749 (~RM 3608) sebuah.

Seterusnya ialah Nokia 7 Plus yang dilengkapi skrin 6″ IPS LCD FHD+, dijana pemproses Snapdragon 660, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Sistem dwi-kamera 12+13 Megapixel f/1.75+f/2.6digunakan pada bahagian belakang dengan zoom optikal 2X serta lensa Zeiss. Kamera swafoto pula sebesar 16-Megapixel f/2.0.

Panel belakang Nokia 7 Plus ialah logam dengan catan enam lapisan yang membuatkannya kelihatan seperti permukaan seramik. Kekuatan peranti ini ialah hayat bateri 3800 mAh yang dikatakan mampu bertahan sehingga dua hari dengan sekali cas. Nokia 7 Plus akan dijual bermula April pada harga €399 (~RM 1922) sebuah.

Akhir sekali ialah Nokia 6 (2018) yang dilengkapi skrin 5.5″ FHD, dijana pemproses Snapdragon 630, memori sebesar 3/4GB RAM dan storan 32/64 GB. Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 dan kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Bateri sebesar 3000 mAh yang digunakan akhirnya menyokong pengecasan pantas.

Tubuh pranti diperbuat sepenuhnya daripad logam aluminium. Teknik kemasan baru memberikan warna tubuh dua tona yang tampak lebih bergaya berbanding model tahun lalu. Nokia 6 (2018) akan dijual bermula April pada harga €279 (~RM 1344) sebuah.

Ketiga-tiga kamera akan menggunakan aplikasi kamera baru Pro Camera. Jika anda lihat antaramukanya, ia adalah sama seperti yang ditemui pada peranti Lumia sebelum ini. Dengan Pro Camera terdapat lebih banyak kawalan manual bagi membolehkan gambar diambil dengan lebih cantik. Bagi pengguna Nokia 8 sedia ada, Nokia mempunyai perancangan memberikan Pro Camera pada peranti anda.

Komen