Carian
(Ura-ura) Kad Grafik NVIDIA GTX 2080 Dan 2070 Bakal Diumumkan Di Acara GPU Technology Conference 2018
February 26, 2018 Nazrin

Acara NVIDIA GPU Technology Conference 2018 bakal berlangsung pada penghujung bulan Mac kelak, dan banyak yang sedang diperkatakan tentang apakah yang bakal NVIDIA umumkan di acara tersebut.

Diantara ura-ura yang sedang hangat dibincangkan di arena web ialah pengumuman mengenai kad-kad grafik terbaru NVIDIA, yang berdasarkan cip pemprosesan grafik Volta, yang kini dapat dilihat melalui kad grafik NVIDIA GeForce GTX TItan V.

NVIDIA diperkatakan bakal mengumumkan kad grafik siri NVIDIA GeForce GTX 2080 dan GTX 2070 di acara GTC 2018 tersebut yang akan hadir melalui model-model “Ampere” dan juga “Turing”. Ampere dikatakan akan dijual khusus untuk golongan gamer dan pembina komputer, manakala Turing pula akan hadir untuk mereka yang kuat melombong kriptowang.

Buat masa ini, tidak banyak butiran yang diketahui mengenai kad-kad grafik terbaru ini, kecuali cip pemprosesan grafik yang menggunakan proses binaan 12nm terbaru, dan juga kemungkinan besar bahawa NVIDIA akan menggunakan cip memori 16GB GDDR6 dari Samsung.

Acara GTX 2018 bakal berlangsung pada 26 Mac sehingga 29 Mac 2018 kelak di Silicon Valley, California, dan bakal memperlihatkan teknologi-teknologi grafik dan perkomputeran terbaru oleh NVIDIA.

Komen