Cari @ Amanz

Papan kekunci mekanikal, khususnya papan kekunci yang dibina untuk tujuan gaming biasanya hadir dengan saiz yang cukup besar dan tebal, walaupun ianya model yang hadir tanpa kekunci numpad.

Cooler Master, jenama pembuat komponen dan aksesori komputer yang cukup terkenal baru-baru ini memperkenalkan papan kekunci terbaru mereka yang dinamakan MasterKeys MK750, yang hadir dengan rekaan berprofil rendah, tetapi masih hadir dengan ciri-ciri yang cukup menarik seperti penyalaan RGB, kekunci multimedia dan sebagainya.

Menarik sekali, walaupun papan kekunci MK750 ini hadir dengan rekaan profil rendah, Cooler Master masih menggunakan bahan premium seperti aluminum untuk membina rangka papan kekunci ini. Papan kekunci MK750 ini juga hadir dengan komponen-komponen seperti suis mekanikal Cherry MX dan menggunakan kabel USB Type-C untuk menyambungkan peranti ini kepada komputer ataupun laptop.

Untuk meningkatkan lagi status premium papan kekunci ini, Cooler Master menggunakan kekunci yang direka menggunakan teknologi Double Shot PBT yang memastikan bahawa aksara-aksara pada kekunci ini kekal lama, disamping penggunaan LED RGB pada setiap kekunci untuk nyalaan yang lebih cerah dan cantik.

Bagi mereka yang gemar bermain permainan komputer buat jangka masa yang panjang pula, MK750 ini juga hadir dengan tempat rehat tangan magnetik yang boleh dipasang dan ditanggalkan dengan mudah untuk keselesaan anda.

Menurut Cooler Master, pra-tempah untuk papan kekunci ini di pasaran tempatan sudahpun bermula pada harga RM589 dan akan hadir pada minggu ini pada harga jualan penuh RM649.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd