Cari @ Amanz

Apabila memilih komputer ataupun laptop yang ingin dibeli, pelanggan seringkali perlu berkompromi untuk membeli peranti yang samada dibina khusus untuk tugasan harian, ataupun peranti yang boleh digunakan untuk tujuan riadah.

Memilih laptop yang nipis dan mudah dibawa kemana-mana bermakna bahawa ia cukup sukar untuk anda menggunakannya untuk bermainan permainan komputer, tetapi jika anda memilih laptop yang dibina untuk permainan komputer, kebarangkaliannya adalah tinggi bahawa ia cukup sukar untuk dibawa kemana-mana.

Acer tampil dengan penyelesaian yang cukup menarik sekali, iaitu sebuah laptop yang hadir dengan rekaan tirus yang digabungkan dengan spesifikasi komponen yang membolehkan anda bermain permainan komputer tidak kira anda berada di mana sekalipun.

Memperkenalkan laptop Acer Spin 5.

Spesifikasi Dan Rekaan

Acer Spin 5
Skrin 15.6 inci Full HD
Pemproses Intel Core i7-8550U @ 1.80GHz
RAM 8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman SSD 256GB, HDD 1TB
Kamera 5MP
USB 2x USB 3.0, 1 USB 2.0, 1x USB 3.1 Type-C
HDMI Ada
Pembaca Kad SD
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 4GB
Harga Jualan RM4999

Laptop Acer Spin 5 ini hadir melalui dua rekaan yang hadir dengan saiz yang berbeza. Model pertama hadir dengan paparan Full HD bersaiz 13.3 inci, yang hadir dengan beberapa pilihan CPU Intel dari Intel Core i3-7100U, Intel Core i5-7200U, Intel Core i5-8520U dan Intel Core i7-8850U,

Acer Spin 5 13.3 inci ini juga hadir dengan grafik bersepadu Intel Iris yang hadir melalui CPU tersebut yang boleh dikatakan cukup baik untuk menonton video beresolusi tinggi dan sejumlah kecil permainan komputer dari zaman dahulu.

Model yang diterima oleh kami untuk ulasan ini pula merupakan model 15.6 inci dengan resolusi Full HD. Dari segi spesifikasi, Acer Spin 5 ini hadir dengan CPU Intel Core i7-8550U, memori DDR4 sebanyak 8GB, dan juga gabungan storan SSD sebesar 256GB dan juga cakera keras sebesar 1TB.

Lebih menarik lagi, model Spin 5 15.6 inci ini juga dilengkapi dengan sebuah kad grafik yang boleh dikatakan agak berkuasa dengan NVIDIA GeForce GTX 1050 yang hadir dengan 4GB memori GDDR5.

Dari segi port I/O pula, Acer Spin 5 ini hadir dengan tiga port USB 3.0 Type-A, satu USB 3.1 Type-C dan satu port HDMI yang boleh digunakan untuk menyambungkan paparan skrin kepada laptop ini.

Acer Spin 5 ini dibina menggunakan logam aluminum secara penuh, dan ini membuatkan laptop tersebut kelihatan cukup segak sekali, disamping mengurangkan berat peranti tersebut. Pada ketebalan 17.9mm sahaja, laptop ini juga boleh dikatakan diantara laptop yang ternipis didalam kelasnya, terutama sekali apabila ia juga hadir dengan sebuah kad grafik NVIDIA GTX 1050 didalamnya.

Bukan itu sahaja, Acer Spin 5 ini juga hadir dengan pembesar suara Acer TrueHarmony yang hadir dengan pengesahan dari Dolby Audio Premium, dan hadir dengan ciri-ciri yang cukup menarik sekali pada pembesar suaranya yang akan kami jelaskan kemudian.

Laptop ini juga mempunyai papan kekunci bersaiz penuh yang juga mempunyai sistem penyalaan LED putih untuk memudahkan pengguna menaip di keadaan gelap, manakala trackpadnya pula hadir dengan pengesan cap jari yang boleh digunakan untuk log masuk kedalam laptop ini dengan perisian Windows Hello.

Ciri-Ciri

Laptop Acer Spin 5 ini hadir dengan banyak ciri-ciri yang cukup menarik, terutamanya jika anda membeli model 15.6 inci yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050.

Ciri yang paling menarik mengenai laptop Spin 5 ini ialah kebolehannya untuk dilipat dan dijadikan sebuah komputer tablet oleh pengguna. Ini bukanlah sebuah konsep yang baru kerana ada banyak lagi jenama yang mampu melakukannya.

Akan tetapi, laptop-laptop lain tersebut tidak mempunyai kad grafik GTX 1050 didalamnya, dan ini bagi kami adalah salah satu ciri yang membezakan Acer Spin 5 ini dengan laptop convertible yang lain.

Secara umumnya, saya biasa menggunakan laptop ini di dalam mod laptop dan mod display sahaja kerana walaupun laptop ini boleh juga digunakan sebagai sebuah tablet, saiz laptop ini yang terlalu besar, digabungkan dengan beratnya membuatkan laptop ini cukup sukar digunakan didalam mod tersebut.

Didalam mod tablet, walaupun penukaran kepada antaramuka tablet Windows 10 adalah cukup lancar, berat Spin 5 model 15.6 inci ini tidak sesuai untuk anda menggunakannya didalam mod ini, terutama sekali apabila anda perlu menggunakan satu tangan untuk menatal skrin sesentuh laptop ini.

Satu lagi ciri yang cukup menarik minat saya mengenai Spin 5 ini ialah sistem pembesar suara TrueHarmony. Jika anda menggunakan laptop ini didalam mod Stand ataupun Tablet, pembesar suara ini akan bertukar mengikut orientasi paparan Spin 5 ini secara automatik. Ini cukup berguna untuk mereka yang gemar menonton video dan filem diatas katil didalam mod Tent dan Stand.

Papan kekunci dan trackpad boleh dikatakan antara ciri yang cukup penting pada mana-mana laptop, dan ini adalah sama untuk laptop Spin 5 ini. Sepanjang saya menggunakan laptop ini, saya dapati bahawa papan kekunci laptop ini mempunyai jarak dan travel yang cukup sesuai sekali dengan cara saya menaip.

Papan kekunci ini juga hadir dengan ciri nyalaan latar yang selalu membantu saya menaip didalam gelap, tidak kira saya sedang bekerja ataupun bermain permainan komputer.

Trackpad Spin 5 ini pula, pada pendapat saya, walaupun ia hadir dengan pengimbas cap jari yang menyokong sistem log masuk Windows Hello, ia tidak begitu berkesan kerana seringkali apabila kami menggunakan trackpad tersebut untuk menatal kandungan web dan sebagainya, tatalan tersebut akan sering tersekat-sekat, dan kadang-kala tatalan tersebut disalah-tafsir sebagai satu klik, dan ini sering menjadi satu masalah yang cukup banyak, terutama sekali apabila saya sedang menaip dengan laju.

Ciri yang paling penting bagi saya pada laptop Acer Spin 5 ini ialah kehadiran palam USB yang membolehkan saya menyambungkan papan kekunci mekanikal dan tetikus untuk tujuan bermain permainan komputer, sekaligus menjadikan laptop ini sebuah peranti yang cukup bagus sekali untuk kegunaan riadah dan juga kerja.

Disamping itu, kehadiran port HDMI juga membolehkan pengguna untuk menyambung paparan skrin luaran kepada laptop ini bagi mereka yang mahu menggunakan paparan yang lebih besar. Kesemua ciri-ciri ini cukup berguna sekali untuk membuatkan Acer Spin 5 ini sebuah peranti yang lengkap.

Pengalaman Pengguna

Dari segi prestasi, laptop Acer Spin 5 dengan kad grafik NVIDIA GTX 1050 ini salah satu daripada laptop yang terbaik pernah saya gunakan. Tidak kira apa tugas yang ia digunakan untuk sekalipun, ia tidak pernah sekalipun mengecewakan saya.

Tugas-tugas harian saya dapat dilengkapkan dengan cukup lancar, termasuklah kerja menulis, mengedit gambar dan sebagainya, cip pemprosesan Intel generasi kelapan Coffee Lake yang hadir pada Spin 5 model 15.6 inci ini juga mampu menggerakkan pelayar web Google Chrome yang terbuka dengan lebih 20 tetingkap tanpa sebarang masalah.

Dari segi gaming pula, kehadiran kad grafik NVIDIA GTX 1050 didalam rangka yang boleh dikatakan lebih nipis berbanding dengan laptop gaming yang lain ialah satu perkara yang cukup hebat. Ini membolehkan anda membawa laptop kemana-mana dan bermain permainan komputer tanpa sebarang masalah.

Dari segi prestasi permainan video pula, sepanjang kami menggunakan laptop Spin 5 ini, saya boleh menggerakkan sejumlah permainan-permainan komputer moden, seperti DOOM, Destiny 2, Overwatch, PlayerUnknown’s Battlegrounds dan Final Fantasy XIV Online pada resolusi 720p dan Full HD dengan tetapan grafik medium. Untuk beberapa tajuk yang dinyatakan, tetapan resolusi Full HD juga boleh digerakkan oleh laptop ini.

Walaupun kualiti grafik mungkin tidak akan kelihatan begitu menyerlah, saya masih mampu bermain tajuk-tajuk permainan komputer ini pada kadar segar semula melangkaui 30FPS sehingga 60FPS tanpa masalah.

Menariknya. oleh kerana sistem penyejukan di bahagian bawah, laptop Acer Spin 5 ini kekal sejuk walaupun ia sedang menggerakkan perisian-perisian yang menggunakan kuasa CPU dan GPU yang tinggi untuk jangka-masa yang lama.

Jika anda hanya menggunakan laptop ini untuk melakukan tugas harian dan menonton video, ia cukup sejuk dan boleh diletakkan diatas peha anda tanpa perlu risau mengenai rangka laptop tersebut menjadi terlalu panas.

Bunyi kipas yang menyejukkan komponen-komponen ini jelas kedengaran walaupun dari jarak dua ke tiga meter, tetapi ini adalah kompromi yang sanggup saya terima untuk sebuah laptop yang hadir dengan rekaan yang nipis dan berprestasi tinggi ini.

Acer menyatakan bahawa laptop ini mampu bertahan sehingga 13 jam dengan satu pengecasan penuh, tetapi melalui pengalaman saya, saya dapati bahawa laptop ini mampu bertahan selama tujuh ke lapan jam.

Tetapan yang digunakan apabila laptop ini digerakkan dengan kuasa bateri termasuklah kecerahan paparan pada 50 peratus dan WiFi sentiasa dipasang. Bagi saya, jumlah masa tujuh ke lapan jam ini adalah sesuatu yang cukup baik sekali, terutama sekali apabila laptop ini hadir dengan kad grafik GTX 1050, terutama sekali apabila ciri NVIDIA Optimus tidak lagi hadir melalui perisian grafik NVIDIA.

Mungkin jangka hayat 13 jam ini hadir melalui Acer Spin 5 yang hadir dengan CPU dari Intel sahaja, tetapi kami tidak dapat menguji tuntutan tersebut, jadi kami tidak dapat mendapatkan kepastian mengenainya.

Patutkan Saya Membelinya?

Pada harga RM4999, kami boleh katakan bahawa laptop Acer Spin 5 ini adalah sebuah laptop kacukan kerja dan gaming yang hampir sempurna sekali. Rekaan convertible laptop ini juga membolehkan pengguna menggunakannya dimana-mana sahaja, manakala spesifikasinya yang cukup mantap memastikan bahawa anda tidak perlu risau mengenai prestasi melakukan apa-apa tugas sekalipun.

Jika anda inginkan sebuah laptop yang lebih padat, tetapi hadir dengan komponen-komponen yang hampir serupa, anda juga boleh mendapatkan laptop Spin 5 yang hadir dengan paparan saiz 13.3 inci pada harga yang lebih murah pada RM3599 dan RM4399.

Tetapi pada pendapat kami, jika anda sudahpun berniat untuk membelanjakan wang sebanyak itu untuk model yang tidak mempunyai kad grafik NVIDIA tersebut, kami sarankan anda belanjakan sedikit lagi wang untuk model yang hadir bersama-sama dengan kad grafik itu.

Sebagai kata penutup, jika anda inginkan sebuah laptop yang boleh digunakan di tempat kerja untuk tugasan harian dan di rumah untuk menonton filem pada resolusi tinggi dan juga untuk bermain permainan komputer seperti DoTA, League of Legends dan sebagainya, kami Prmengesyorkan anda sekurang-kurangnya mempertimbangkan laptop Acer Spin 5 dengan kad grafik NVIDIA GTX 1050 ini.

PRO dan Kelebihan
  • Penggunaan CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake
  • Rekaan aluminum penuh yang kemas dan menarik
  • Boleh dipusing untuk kegunaan di pelbagai permukaan
  • Hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GTX 1050
KONTRA dan Kekurangan
  • Pada saiz 15.6 inci, mod tablet Spin 5 agak sukar digunakan
  • Trackpad tersekat-sekat
  • Posisi trackpad sedikit menjengkelkan

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd