Cari @ Amanz

Cip pemprosesan AMD Ryzen Mobile APU diperkenalkan lewat tahun lepas di acara tertutup AMD, dan sedikit butiran mengenainya juga telah diumumkan, termasuklah beberapa model laptop yang akan hadir dengan cip pemprosesan tersebut.

APU AMD Ryzen Mobile akhirnya telah dilancarkan di pasaran tempatan melalui dua buah laptop dari jenama yang cukup terkenal: Acer dan Lenovo.

Butiran mengenai APU Ryzen Mobile ini juga telah diketahui beberapa ketika dahulu. Ia hadir melalui satu model, iaitu AMD Ryzen 5 2500U yang mempunyai empat teras dan lapan bebenang kuasa pada kelajuan pemprosesan maksima 3.6GHz. Dari segi grafik pula, APU ini mempunyai lapan Graphic Compute Units, pada kelajuan grafik maksima 1100MHz dan seluruh pakej ini menggunakan TDP setinggi 15W sahaja.

Acer Swift 3 dengan APU Ryzen 5 2500U ini bakal hadir di pasaran tempatan pada penghujung bulan Mac kelak dan hadir dengan spesifikasi memori DDR4 8GB, storan SSD sebesar 256GB disamping menjanjikan jangkahayat bateri selama 10 jam. Ia juga mempunyai paparan bersaiz 15.6 dengan resolusi Full HD.

Dalam pada itu, laptop Acer Swift 3 ini juga akan hadir dengan kad grafik AMD RX540 didalam rangka yang mempunyai ketebalan 18mm sahaja.

Lenovo IdeaPad 720s juga hadir dengan Ryzen 5 2500U, tetapi mempunyai spesifikasi memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan SSD sebesar 256GB dan menjanjikan jangkahayat bateri yang hampir sama dengan Acer Swift 3. Dari segi paparan pula IdeaPad 720s ini mempunyai paparan bersaiz 13.3 inci yang juga hadir dengan resolusi Full HD.

Laptop Lenovo IdeaPad 720s ini dikatakan akan dilancarkan hari ini pada harga RM3299, manakala Acer menyatakan bahawa tanda harga untuk laptop Acer Swift 3 mereka akan diumumkan di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd