Perkhidmatan penstriman Netflix sudah beroperasi sejak 2008. Pada awalnya mereka menawarkan penstriman siri TV dan filem yang diterbitkan oleh syarikat luar. Ini berubah pada tahun 2013 dengan House of Cards yang menjadi siri terbitan sendiri pertama mereka. Jumlah kandungan tersendiri ini akan meningkat mendadak tahun ini.
Menurut laporan Variety yang memetik David Wells yang merupakan CFO Netflix, syarikat ini akan membelanjakan $8 bilion (~RM 31.6 bilion) sepanjang 2018 bagi menerbitkan kandungan tersendiri. Sebanyak 700 filem dan siri terbitan sendiri akan dihasilkan dari wang yang dibelanjakan tersebut. Ini termasuk 80 dari penerbitan di luar Amerika Syarikat. Dengan perbelanjaan yang besar ini, mereka berharap dapat meningkatkan jumlah pelanggan sebagai persediaan kepada perkhidmatan penstriman Disney.