Carian
LG Mempatenkan Rekaan Panel Semua-Skrin Dengan Lubang Kecil Pada Bahagian Atas
February 28, 2018 Effi Saharudin

Minggu ini kita dapat melihat beberapa peranti dengan skrin bertakuk dilancarkan seperti Leagoo S9 dan Asus Zenfone 5Z. Rekaan takuk ini juga mungkin akan digunakan pada OnePlus 6 kelak. Apa yang pasti rekaan yang dipopularkan oleh iPhone X kini menjadi ikutan pengeluar peranti Android.

LG telah melancarkan peranti kemaskini LG V30S ThinQ yang tidak bertakuk. Rekaan skrin FullVsion P-OLED mereka hanya mempunyai bezel yang besar pada bahagian atas dan bawah. Tetapi peranti utama mereka yang seterusnya mungkin akan mempunyai peratusan permukaan skrin yang jauh lebih besar. Rekaan yang dipatenkan oleh LG di atas mempunyai lubang yang kecil pada panel skrin. Ini mungkin akan digunakan untuk kamera, gagang telinga dan sensor peranti.

Penggunaan rekaan ini pastinya memberikan keunikan kepada peranti LG dan mengelakkan dituduh meniru Apple kerana penggunaan skrin bertakuk. Pada masa yang sama ia berbeza dari rekaan modul bulat pada bahagian skrin seperti yang ditemui pada Essential Phone dan Sharp Aquos S2. Apakah pendapat anda mengenai paten skrin yang unik ini?

Komen