Cari @ Amanz

Beberapa peranti baru dilancarkan di acara MWC 2018 menggunakan sistem operasi Android Oreo Go Edition. Di media sosial kami menyedari terdapat ramai pembaca Amanz yang tertanya-tanya apakah Go Edition ini. Apakah perbezaannya dengan Android One yang turut digunakan pada peranti seperti Xiaomi Mi A1 dan Nokia 7 Plus. Di bawah ialah enam perkara yang akan menjawab kesemua persoalan anda mengenai Android Go Edition.

1. Pada Awalnya Dikenali Sebagai “Android One”

Sebelum Android Go, Google memperkenalkan Android One pada tahun 2014 sebagai sistem operasi untuk telefon-telefon pintar kelas permulaan. Program Android One yang diperkenalkan oleh Google pada beberapa tahun lepas juga mempunyai fokus yang hampir sama iaitu sistem operasi Android untuk telefon pintar dengan spesifikasi rendah. Tetapi Android One kini sudah beralih kepada program yang memfokuskan kepada sistem operasi Android Asli untuk digunakan oleh pengeluar lain selain Google.

Kini dengan fokus yang sama pada Android One, Google melancarkan program Android Go bermula dengan Android Oreo Go Edition (Android Go). Android Oreo adalah sistem operasi Android terkini yang stabil yang mempunyai pelbagai ciri menarik seperti mod picture-in-picture, mod split-screen dan banyak lagi.

2. Ia adalah sistem operasi Android versi ringan

Android Go berfungsi sama seperti sistem operasi Android yang lain, kelebihan Android Go adalah ia dibangunkan khusus untuk telefon pintar yang dilengkapi RAM di bawah kapasiti 1GB. Saiz fail sistem Android Go juga adalah separuh daripada fail sistem Android biasa sekali gus ia memberi kelebihan pada telefon pintar kelas permulaan yang mempunyai storan dalaman bawah 16GB.

Walaupun ia sistem operasi untuk peranti kelas permulaan, Google akan masih memberikan kemaskini yang pantas dan juga terus memberi kemaskini sekuriti bulanan. Contoh terbaik ialah kesemua peranti Android Go yang telah dilancarkan pada acara MWC 2018 menggunakan Android Oreo 8.1 Go Edition.

3. Apa pula aplikasi Go?

Bukan sistem operasi sahaja dihasilkan dalam versi Go. Malahan aplikasi Google edisi Go turut dibangunkan khas untuk sistem operasi ringan ini. Antara yang dihasilkan ialah Gmail Go, Google Go, Google Assistant Go, Google Maps Go, Youtube Go dan juga aplikasi pengurusan fail Files Go. Aplikasi-aplikasi versi Go ini mempunyai fungsi-fungsi utama yang sama, tetapi tidak menyokong kesemua fungsi tambahan seperti versi penuh.

Contohnya Google Assistant Go hanya menyokong bahasa Inggeris dan tidak boleh membuat arahan suara (seperti menetapkan penggera atau mengawal gajet-gajet pintar). Tetapi ia masih boleh menjawab soalan-soalan dan mengawal beberapa tetapan telefon Android Go.

Selain itu, semua aplikasi versi Go mempunyai saiz pemasangan yang 50% lebih kecil bagi menjimatkan penggunaan ruang storan peranti. Google mengatakan mereka tidak mengehadkan pengguna untuk menggunakan hanya aplikasi-aplikasi Go. Pengguna masih lagi boleh menggunakan aplikasi Google versi biasa, tetapi ia akan memakan ruang storan dan juga prestasi yang lemah kerana aplikasi versi biasa tidak dioptimasikan.

4. Antara ciri menarik pada Android Go

Ciri lain yang menarik yang hadir dalam Android Go ialah Data Saver. Fungsi ini membenarkan pengguna mengehadkan penggunaan quota internet melalui tetapan. Fungsi ini sudah pun hadir pada Android versi biasa sejak Android Nougat 7.0. Tetapi pada Android Go, Google telah menetapkannya secara asas dengan meletakkan ikon pintasan Data Saver ini di dalam talam notifikasi.

Perkongsian fail yang dinamakan Peer-to-Peer Sharing juga kini digalakkan. Ia ditawarkan dalam Android Go melalui aplikasi Files Go. Konsep penggunaan seperti berkongsi fail yang mudah seperti Mi Drop oleh Xiaomi atau AirDrop oleh Apple, tetapi ia memfokuskan antara pengguna Android yang menggunakan aplikasi Files Go.

Dengan hadirnya telefon pintar Android Go di pasaran, ia akan membuatkan pengguna berfikir dua kali sebelum membeli telefon pintar 4G biasa (seperti Nokia 3310 4G dan Nokia 8110 4G) Ini disebabkan telefon pintar Android Go boleh didapati pada harga serendah $50 (~RM196) yang kompetitif dengan  harga telefon 4G biasa di pasaran.

5. Senarai peranti Android Go

Antara telefon pintar terawal yang menggunakan Android Go adalah Nokia 1, Alacatel 1X, ZTE Tempo Go, GM 8 Go, Micromax Bharat Go dan juga Lava Z50. Kita akan melihat lebih banyak telefon pintar dengan harga dalam lingkungan RM200-RM300 yang dikuasakan dengan Android Go dalam masa terdekat.

6. Custom ROM berasaskan Android Go Di Masa Hadapan

Sudah pasti Android Go ini menggunakan barisan kod yang sudah diubahsuai menjadi lebih mudah dajn ringan daripada Sumber Terbuka Projek Android (Android Open Source Project, AOSP). Oleh itu, pengguna telefon-telefon pintar lama boleh tunggu pembangun hasilkan Custom ROM berasakan Android Go ini. Contoh terbaik adalah Low-RAM Property Patcher yang dibangunkan oleh AdrianDC iaitu pembangun terkenal dalam XDA. Mod ini mengubah peranti-peranti yang menggunakan Android Oreo 8.1 kepada versi Android Oreo 8.1 Go Edition.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd