Di acara Consumer Electronics Show pada bulan Januari lalu, Intel memperkenalkan CPU Intel Core G yang menggabungkan kuasa pemprosesan siri CPU Intel Core dan juga teknologi grafik AMD RX Vega.
Intel juga memperkenalkan komputer padat terbaru mereka di acara tersebut yang dinamakan Intel NUC (Next Unit of Computing) Hades Canyon, yang dikuasakan oleh dua CPU Core G ini, termasuklah Intel Core i7-8809G dan juga Intel Core i7-8705G.
Komputer Hades Canyon ini belum hadir di pasaran lagi, tetapi PlayWares, sebuah laman web teknologi dari Korea baru-baru ini hadir dengan sebuah laporan mengenai prestasi komputer ini, dan melalui beberapa ujian permainan komputer yang dilakukan, ia didapati bahawa CPU Intel Core G ini mampu menggerakkan sejumlah besar tajuk permainan pada resolusi Full HD.
Lebih menarik lagi, model komputer Hades Canyon yang hadir dengan CPU Intel Core i7-8809G boleh di-overclock, sekaligus meningkatkan lagi kualiti grafik permainan tersebut tanpa sebarang masalah. Diantara tajuk-tajuk permainan yang diuji ialah Rise of The Tomb Raider, Overwatch, Tekken 7, For Honor dan Metro 2033 Redux.
Melihat kepada screenshot skor penanda-penanda aras tersebut, ia dapat dilihat bahawa anda bukan sahaja boleh menggerakkan permainan video pada resolusi Full HD tersebut, malah ia boleh dimainkan dalam lingkungan kadar segar semula 60FPS
Buat masa ini, Intel masih belum mengumumkan bilakah komputer Intel NUC Hades Canyon ini akan mula dijual, tetapi harga untuk sebuah komputer tersebut dengan CPU Intel Core i7-8809G telahpun ditetapkan pada $999 (RM4000).