Carian
CIMON – Robot Untuk Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa Yang Terbang Dengan Bebas
March 2, 2018 Effi Saharudin

Fiksyen sains sekali lagi menjadi realiti. Airbus telah mengumumkan robot CIMON (Crew Interactive MObile CompanioN) yang akan digunakan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Robot berbentuk bulat ini terbang secara bebas dan dilengkapi sistem kecerdasan buatan IBM Watson secara awaman.

CIMON yang seberat 5 kilogram dan sebesar bola pantai ini akan membantu tugas angkasawan. Ia mampu memberikan bantuan, memberitahu prosedur melakukan tugasan dan mengenali wajah penghuni ISS. Robot terbang ini dihasilkan menggunakan cetakan 3D dengan kerangka luar diperbuat daripada plastik. Ia dijangka diterbangkan ke ISS seawal Jun ini dan beroperasi sehingga Oktober.

Ujian penggunaan robot di angkasa lepas ini adalah bagi melihat bagaimana ia boleh membantu angkasawan di masa hadapan. Penggunaan robot untuk misi ke Marikh boleh mengurangkan tekanan kepada krew dan angkasawan yang keseorangan sekurang-kurangnya mempunyai teman berbual.

Kami hanya boleh berharap CIMON akan membantu angkasawan dan bukannya menjadi musuh seperti HAL 9000.

Komen