Cari @ Amanz

Dengan perkembangan arena teknologi, salah satu perkara yang berlaku hampir setiap tahun adalah perubahan penawaran peranti – yang membuatkan pengguna menggantikan kepada peranti baru untuk menikmati beberapa ciri-ciri baru yang disertakan, serta sokongan kemaskini perisian.

Bercakap mengenai kemaskini perisian dan sekuriti sendiri, Apple merupakan salah satu pengeluar yang menawarkan tempoh sokongan yang lama.

Kini, salah seorang penganalisa Asymco mengatakan yang mana produk Apple mempunyai jangka hayat purata sekitar 4 tahun penggunaan.

Angka ini dicapai berdasarkan kiraan berapakah peranti yang dijual setiap tahun, termasuk menggunakan data-data lain – termasuk menggunakan angka peranti Apple yang aktif kini berjumlah 1.3 bilion peranti seluruh dunia.

Graf Jangka Hayat

Ia dikatakan dengan menggunakan data seperti peranti yang aktif dan juga peranti yang dijual setiap suku tahun, penganalisa ini mencapai data berkaitan jangka hayat penggunaan sesuatu peranti oleh pengguna.

Walaubagaimanapun, data ini mungkin tidak begitu jitu kerana ia turut mengambil kira beberapa peranti dengan tempoh penggunaan yang lama – seperti tablet dan juga komputer riba Mac.

Apa pun, ia agak menarik untuk melihat produk keluaran Apple mempunyai jangka hayat penggunaan yang lama. Dengan data baru ini, semestinya ia menjadi persoalan bagaimana pula dengan produk-produk lain, termasuk yang menggunakan sistem operasi Android dan Windows.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd