Cari @ Amanz

Bagi kebanyakan pengguna, peranti boleh pakai masih lagi aksesori tambahan yang tidak diperlukan. Bagi mereka yang gemar beriadah, pengesan kesihatan sudah memadai untuk keperluan mereka. Kami sendiri lebih selesa dengan jam tangan pintar kerana ia mengurangkan keperluan memegang telefon pintar sepanjang masa. IDC telah berkongsi angka jualan peranti boleh-pakai sepanjang 2017 dan amat mengejutkan Apple Watch mencatatkan jualan tertinggi.

Sebanyak 17.7 juta jam tangan pintar Apple Watch terjual tahun lalu. Pencabar terhampir Apple ialah Xiaomi (15.7 juta), Fitbit (15.4 juta), Garmin (6.3 juta) dan Fossil (4.9 juta). Menarik mengenai angka jualan di atas ialah Apple hanya menjual jam tangan pintar manakala empat pesaing terdekat menjual jam tangan pintar dan pengesan kesihatan. Walaupun dijual pada harga yang jauh lebih mahal, lebih banyak jam tangan pintar Apple Watch terjual.

Sekiranya hanya jualan jam tangan pintar diambil kira, pengeluar-pengeluar lain di tangga kedua dengan jualan sebanyak 6 juta diikuti oleh Samsung (3.6 juta), Garmin (2.7 juta), Fossil (1.8 juta) dan Continental Wireless (1.5 juta).

Sebagai kesimpulan Apple kini memegang 15.3% pasaran peranti boleh-pakai dan 53% pasaran jam tangan pintar dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd