Komputer yang berkuasa mutlak haruslah dipadankan dengan paparan skrin yang setaraf dengannya. Jika PC anda mempunyai kad grafik seperti AMD Radeon RX Vega dengan paparan skrin Full HD sahaja, ini boleh dikatakan sebagai sebuah pembaziran wang kerana anda tidak menyerlahkan potensi sebenar komputer tersebut.
BenQ baru-baru ini melancarkan paparan skrin terbaru mereka, iaitu BenQ EL2870U yang hadir dengan paparan TN (Twisted Nematic) pada resolusi 4K pada kadar segar semula 60Hz dengan sokongan teknologi paparan HDR10 yang menjanjikan warna yang lebih terang dan bersemangat.
Dalam pada itu, paparan ini juga hadir dengan sokongan untuk AMD FreeSync bagi mereka yang mempunyai komputer dengan kad grafik AMD Radeon untuk pengalaman bermain permainan komputer yang lebih lancar.
Dengan sokongan HDCP 2.2, BenQ juga menyatakan bahawa paparan EL2870U ini juga adalah paparan yang terbaik untuk mereka yang gemar bermain permainan video dengan konsol Sony PlayStation 4 Pro ataupun Microsoft Xbox One X.
Walaupun paparan in tidak mempunyai pensijilan DisplayHDR 400, ia dikatakan menyokong teknologi HDR10 melalui ciri Brightness Intelligence Plus Technology yang membolehkan pengguna memilih diantara empat tahap HDR untuk mengubah kontras dan tahap keamatan warna untuk pengalaman menonton video yang sesuai dengan kehendak pengguna.
Paparan BenQ EL2780U ini berharga $499 (RM2000) dan kini berada di beberapa pasaran terpilih di seluruh dunia.