Microsoft Akan Menyertakan Platform Kecerdasan Buatan Pada Windows 10 Akan Datang

Microsoft Akan Menyertakan Platform Kecerdasan Buatan Pada Windows 10 Akan Datang

Diterbitkan pada Mac 8, 2018 oleh .

Kecerdasan buatan atau AI telah menjadi bualan hangat ramai pihak sejak kebelakangan ini. Microsoft, gergasi perkomputeran di dunia turut tidak ingin ketinggalan dalam arena berkenaan, dan hari ini mengumumkan yang mana kemaskini Windows 10 akan datang bakal turut menyertakan sokongan platform kecerdasan buatan tersendiri.

Microsoft menamakan platform ini sebagai Windows ML, dan ia ditujukan untuk para pembangun untuk diintegrasikan terus ke aplikasi dan perisian mereka.

Dengan sokongan ini, para pembangun boleh membuat pelbagai tugasan yang melibatkan pembelajaran mesin terus pada PC tanpa memerlukan sambungan ke perkomputeran awan. Ini turut dijayakan bukan sahaja melalui Windows 10, tetapi menggunakan sokongan cip dan grafik daripada Intel, Qualcomm, NVIDIA, AMD dan lain-lain.

Dengan pengenalan Windows ML ini juga, kita akan melihat integrasi pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan lebih menyeluruh pada perisian dan aplikasi Windows 10 – selain pada sistem operasi berkenaan sendiri.

Kita mungkin akan dapat melihat contoh implementasi dan sebagainya dalam bulan-bulan akan datang.


TIPS & ULASAN