AMD bakal mengumumkan kehadiran CPU AMD Ryzen generasi kedua mereka, Pinnacle Ridge tidak lama lagi, tetapi nampaknya butiran terperinci mengenai cip-cip pemprosesan tersebut sudahpun tertiris ke arena web melalui Informatica Cero.
Laman web teknologi tersebut menunjukkan beberapa slaid persembahan yang menunjukkan spesifikasi khusus untuk kebanyakan CPU AMD Ryzen generasi kedua tersebut, termasuklah AMD Ryzen 7 2700X, AMD Ryzen 7 2700, AMD Ryzen 5 2600X dan AMD Ryzen 5 2600.
Butiran yang ditunjukkan termasuklah jumlah teras dan bebenang kuasa, penggunaan kuasa (TDP), kelajuan pemprosesan asas dan Turbo, aksesori penyejuk kipas CPU dan juga harga untuk kesemua CPU-CPU ini.
Siri CPU AMD Ryzen 7 dilihat mengekalkan konfigurasi 8 teras dan 16 bebenang kuasa. manakala siri CPU AMD Ryzen 5 akan hadir dengan model-model yang mempunyai 6 teras dan 12 bebenang dan juga 4 teras dan 8 bebenang.
Dalam pada itu, kesemua CPU AMD Ryzen ini juga akan hadir dengan penyejuk CPU Wraith Cooler. CPU AMD Ryzen 7 2700X akan dipadankan dengan penyejuk CPU Wraith Prism, manakala CPU Ryzen 7 2700 akan menerima penyejuk CPU Wraith Spire LED.
Beberapa slaid yang tertiris tersebut juga menunjukkan ciri-ciri baru seperti Xtended Frequency Range 2 (XFR2) dan juga Precision Boost 2 yang membolehkan pengguna meng-overclock CPU mereka dengan mudah.
Sama seperti AMD Ryzen sebelum ini, semua CPU AMD Ryzen 2000 hadir dengan ciri overclocking, tetapi CPU siri X akan hadir dengan ciri XFR2 yang membolehkan pengguna betul-betul menolak had CPU mereka dengan penyejuk CPU khusus.
Dalam pada itu kesemua CPU-CPU ini juga akan menyokong papan induk AM4 siri X300 dan sebagainya, tetapi AMD juga akan memperkenalkan papan induk AM4 siri X400 untuk menyokong ciri-ciri baru yang hadir pada CPU AMD Ryzen generasi kedua ini.
Tanda harga untuk keempat-empat CPU ini juga diperlihatkan, dan ia adalah seperti berikut:
- AMD Ryzen 7 2700X – $369
- AMD Ryzen 7 2700 – $299
- AMD Ryzen 7 2600X – $249
- AMD Ryzen 7 2600 – $199
Jika tirisan ini boleh dipercayai, ini bermakna bahawa satu-satunya butiran yang masih tidak diketahui ialah tarikh pelancaran siri CPU ini. Ada kemungkinan besar bahawa AMD hanya akan mengumumkannya di acara pengumuman AMD Ryzen 2000 kelak.