Intel Mengumumkan SSD Cache Optane Generasi Kedua – Dikenali Sebagai Intel Optane 800p

Intel Mengumumkan SSD Cache Optane Generasi Kedua – Dikenali Sebagai Intel Optane 800p

Diterbitkan pada Mac 9, 2018 oleh .

Pada tahun lepas, Intel mengumumkan kehadiran memori SSD Intel Optane bersaiz 16GB dan 32GB untuk digunakan bersama-sama dengan cakera keras untuk memastikan bahawa data-data tertentu boleh diakses dengan lebih pantas dari biasa.

Intel kini memperkenalkan SSD Cache Intel Optane generasi kedua yang dinamakan Intel Optane 800p, dan kini hadir dengan storan berjumlah 58GB dan 118GB yang menggunakan sambungan PCIe 3.0 x2 yang menjanjikan kadar penghantaran data 640MB/s dan kadar pembacaan data selaju 1450MB/s.

Dari segi rekaan pula, SSD Intel Optane ini hadir dengan rekaan M.2 2280 dan sesuai dimuatkan didalam komputer-komputer padat dan juga laptop yang mempunyai slot M.2 berlebihan. Menurut Intel lagi, SSD ini juga boleh digunakan untuk memasang sistem operasi oleh kerana saiz storannya yang cukup besar untuk digunakan sebagai storan sistem.

Malah, Intel juga mengesyorkan bagi para pengguna yang berminat untuk menggunakan SSD Optane 800p ini untuk membeli dua unit supaya ia boleh digunakan dalam konfigurasi NVMe RAID.

Lebih menarik lagi, Intel juga berkata bahawa SSD Intel Optane 800p ini mampu bertahan lama, dan mempunyai daya ketahanan setinggi 385TBW (Terabytes Written), yang bermakna ia boleh bertahan selama lebih dari beberapa tahun.

SSD Intel Optane 800p ini sudahpun hadir di beberapa pasaran terpilih, dan boleh dibeli pada harga $129 untuk storan bersaiz 58GB dan $199 untuk storan bersaiz 118GB.


TIPS & ULASAN