Sony mengikuti langkah LeEco, HTC dan Apple dengan tidak lagi menyertakan bicu audio 3.5mm pada telefon pintar keluaran mereka. Sony Xperia XZ2 dan XZ2 Compact menggunakan port USB-C sepenuhnya bagi tujuan pengecasan dan aksesori audio berwayar. Bagi mereka yang mahu mengecas peranti dan fon telinga berwayar, Sony ada menjual penyesuai EC270.
Ia bukan penyelesaian yang elegan dan paling mengecewakan tidak menyokong pengecasan pantas. Penyesuai ini mengecas pada kadar 2.5W (5V/0.5A) sahaja yang lebih perlahan dari standard pengecasan QuickCharge 1.0 (5V/2A). Bagi bakal pembeli Xperia XZ2, ini bukanlah tindakan bijak kerana peranti ini menyokong pengecasan 18 W QuickCharge 3.0.