Cari @ Amanz

Intel merupakan salah satu syarikat semikonduktor yang besar, dimana pemprosesan mereka digunakan secara meluas pada pelbagai komputer riba dan desktop pada hari ini. Walaubagaimanapun, mereka kini menghadapi cabaran hebat daripada beberapa syarikat kerana Intel tidak mempunyai penawaran yang menarik untuk telefon pintar, selain beberapa penawaran lain.

Terkini, Intel dilaporkan melihat kepada beberapa kaedah untuk bergerak kehadapan, termasuk dikatakan mungkin ingin mengambil-alih Broadcom. Laporan ini hadir daripada WSJ, mengatakan Intel akan membuat bidaan untuk mengambil-alih Broadcom, sekiranya Broadcom berjaya dalam mendapatkan Qualcomm.

Broadcomm merupakan salah satu syarikat yang popular dengan penawaran cip Bluetooth, WiFi, peranti-berhubung dan sebagainya. Sejak penghujung tahun lepas, Broadcom sedang dalam usaha untuk mengambil-alih pengeluar cip mudah-alih popular, Qualcomm.

Seperti ramai sedia maklum, sekiranya pengambil-alihan Qualcomm oleh Broadcom berjaya, maka ia akan menjadikan Broadcom sebagai syarikat komponen dan semikonduktor besar yang meliputi penawaran cip mudah-alih, peranti berhubung, dan rumah pintar. Ini secara tidak langsung akan memberikan cabaran kepada Intel.

Ia dikatakan Intel berharap untuk pengambil-alihan Qualcomm oleh Broadcom gagal. Tetapi, sekiranya pengambil-alihan tersebut berjaya, pihak Intel dikatakan bakal membuat penawaran untuk pengambil-alihan Broadcom.

Intel juga pada masa yang sama dilihat mungkin membuat pengambil-alihan syarikat kecil lain dalam mengekalkan kadar kompetitif serta memperluaskan portfolio mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd