Carian
Teknologi AMD FreeSync 2 Dan HDR Bakal Hadir Pada Konsol Xbox One X Dan Xbox One S
March 12, 2018 Nazrin

Xbox One X dan Xbox One S merupakan konsol-konsol permainan dari Microsoft yang dikatakan hadir dengan pelbagai ciri-ciri yang cukup menarik, diantaranya ialah Variable Refresh Rate (VRR) yang lebih dikenali oleh nama samaran dari AMD, iaitu FreeSync, dan juga teknologi warna High Dynamic Range.

Sayang sekali, apabila kedua-dua konsol permainan video dari Microsoft ini dilancarkan, kedua-dua ciri VRR dan HDR ini tidak hadir untuk para pengguna konsol tersebut.

Ciri VRR ataupun FreeSync ini sepatutnya membenarkan konsol untuk menggerakkan permainan video pada kadar segar semula yang lebih tinggi dari 60FPS jika paparan dan cip grafik mampu melakukannya, manakala ciri HDR pula memberi pengguna pengalaman menonton yang lebih berkualiti daripada teknologi paparan biasa.

Baru-baru ini, Larry Hryb dari Microsoft dan Antal Tungler dari AMD memberi maklumat baru mengenai ciri-ciri ini, dan nampaknya ia bakal hadir pada kedua-dua konsol ini, dan buat masa ini, para pengguna Xbox Insider sudahpun menerima kemaskini VRR dan HDR ini untuk konsol-konsol Xbox One X dan Xbox One S mereka.

Para jurucakap Microsoft dan AMD tersebut juga menyatakan bahawa sokongan untuk VRR bakal hadir pada konsol Xbox One yang asal juga, tetapi ia hanya akan menerima sokongan untuk FreeSync generasi pertama, kerana palam HDMI 2.1 diperlukan untuk menggerakkan ciri FreeSync 2.

Komen