Kerjaya sebagai seorang vlogger kini sudah menjadi perkara biasa. Di Malaysia terdapat ramai vlogger menggunakan platform seperti YouTube dan Instagram untuk memasarkan produk yang ditaja. Oleh itu persaingan di antara vlogger semakin sengit dengan kandungan unik membezakan mereka dengan pesaing. Untuk itu kamera IdolCam telah dihasilkan bagi memudahkan proses penghasilan kandungan vlog yang berkualiti.
Kamera padat ini dilengkapi gimbal tiga paksi yang memastikan video yang diambil sentiasa stabil tanpa gegaran. Sebuah skrin LCD pada kamera boleh berpusing 180 darjah bagi membolehkan rakaman dilihat sendiri oleh pengguna. Terdapat sokongan lensa yang boleh ditukar serta dua jenis sistem lampu untuk rakaman pada waktu malam.
Dari segi spesifikasi, IdolCam dilengkapi sensor 23-Megapixel yang mampu merakam video pada tetapan 4K 30FPS. Pada bahagian bawah kamera terdapat cagak yang membolehkannya dipasang pada penghujung kayu swafoto. Bagi yang berminat IdolCam akan mengumpul dana secara biayasama menerusi laman KickStarter pada harga sekitar $350 (~RM 1367) sebuah.