Cari @ Amanz

Microsoft Malaysia memperkenalkan beberapa siri tablet dan laptop dari siri Microsoft Surface baru-baru ini, termasuklah Microsoft Surface Pro, Microsoft Surface Laptop, dan yang terbaru, Microsoft Surface Book 2.

Dengan kehadiran peranti-peranti ini, Microsoft dilihat mahu memasuki pasaran laptop dan tablet tempatan dengan pilihan-pilihan yang cukup menarik melalui ketiga-tiga model ini.

Tablet Microsoft Surface Pro boleh dikatakan dikhususkan untuk para pelajar pengajian tinggi dan golongan profesional yang sering bekerja di luar pejabat, manakala Surface Laptop pula untuk mereka yang inginkan sebuah laptop untuk tugas-tugasan pejabat yang memerlukan kuasa komputer yang lebih berkuasa dan mempunyai bateri yang tahan lebih lama dari biasa.

Peranti Microsoft Surface Book 2 pula menggabungkan kuasa perkomputeran CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake dan juga kad grafik daripada NVIDIA. Dengan tanda harga yang bermula dari RM6988, kami lihat apa yang menarik mengenai peranti ini.

Tablet Paling Berkuasa Oleh Microsoft

Dari segi spesifikasi, peranti Microsoft Surface Book 2 ini hadir dengan dua model dengan saiz paparan yang berbeza. Ini termasuklah model dengan paparan bersaiz 13.5 inci dan 15 inci yang hadir dengan resolusi paparan 3000×2000 dan 3240×2160 pixel dengan teknologi PIxelSense yang juga menjanjikan kualiti warna yang menakjubkan.

 

Microsoft Surface Book 2 ini boleh dikatakan sebuah hibrid laptop/tablet 2-dalam-1 yang membolehkan pengguna menggunakan peranti ini di dalam pelbagai mod yang mereka inginkan.

Spesifikasi peranti ini juga cukup menarik pada kedua-dua model 13.5 inci dan 15 inci. Bagi Surface Book 2 dengan paparan 13.5 inci, ia dipadankan dengan pilihan CPU Intel Core i5 generasi ketujuh Kaby Lake dan Intel Core i7 generasi kelapan Cofee Lake. Dari segi memori dan storan pula, ia mempunyai memori DDR4 8GB-16GB dan pilihan storan 256GB hingga 1TB.

Model Surface Book 2 15 inci pula dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kelapan Coffee Lake, memori DDR4 8GB-16GB, dan pilihan storan SSD dari 256GB hingga 1TB.

Selain daripada grafik Intel Iris Pro, pengguna juga boleh memilih untuk membeli model Surface Book 2 dengan pilihan kad grafik GTX 1050 yang hadir untuk kedua-dua model 13.5 inci dan 15 inci, ataupun kad grafik NVIDIA GTX 1060 yang hadir untuk model 15 inci sahaja.

Dari segi I/O, Surface Book ini hadir dengan dua palam USB 3.0 Type-A, sebuah palam USB 3.1 Type-C dan sebuah pembaca kad SD di bahagian dok papan kekunci. Dari segi butang pula, butang kuasa dan pengawal audio terletak di bahagian tablet Surface Book 2 ini.

Rekaan

Rekaan peranti Surface Book 2 ini tidak begitu berbeza berbanding dengan model pertama sebelum ini. Ia masih menggunakan logam magnesium untuk rangka tablet dan papan kekunci ini, yang membuatkan peranti ini cukup ringan walaupun kedua-dua unit ini digabungkan.

Microsoft juga mengekalkan rekaan Surface Book sebelum ini, dengan penggunaan engsel yang membuatkan tablet ini mempunyai bukaan yang sedikit menjengkelkan apabila tablet ini ditutup dengan dok papan kekunci.

Sama seperti semua peranti 2-dalam-1 yang lain, tablet ini boleh digunakan melalui pelbagai cara, akan tetapi oleh kerana mekanisme penanggalan yang digunakan oleh Microsoft, mencabut tablet ini daripada papan kekunci agak leceh, dan kami akan terangkan kenapa di bahagian yang seterusnya.

Ciri-Ciri Yang Menarik

Peranti Microsoft Surface Book 2 ini hadir dengan beberapa ciri=ciri yang cukup menarik selain daripada spesifikasi yang cukup berkuasa. CIri yang paling utama semestinya kebolehan pengguna menanggalkan bahagian tablet ini daripada dok papan kekunci.

Tidak seperti tablet/laptop 2-dalam-1 yang lain, Surface Book 2 ini hadir dengan mekanisme yang agak unik untuk menanggalkan bahagian tablet daripada papan kekunci. Di bahagian papan kekunci tablet ini, terdapat satu butang yang boleh anda tekan untuk mengaktifkan mekanisme tersebut, dan anda akan mendengar bunyi klik yang menandakan anda boleh menanggalkan tablet tersebut daripada papan kekunci.

Sama seperti semua peranti 2-dalam-1 yang lain, tablet ini boleh digunakan melalui pelbagai cara, termasuklah laptop, tablet, display mode dan sebagainya, akan tetapi oleh kerana mekanisme penanggalan yang digunakan oleh Microsoft, mencabut tablet ini daripada papan kekunci agak leceh.

Walaupun begitu, ini adalah satu keperluan kerana jika anda membeli model Surface Book 2 yang hadir dengan kad-kad grafik NVIDIA GTX 1050 ataupun GTX 1060, modul kad grafik tersebut terletak pada papan kekunci tablet ini, dan ini memerlukan sedikit masa untuk papan kekunci tersebut untuk menyambung kepada sistem tablet tersebut.

Microsoft juga berkata bahawa Surface Book 2 ini hadir dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 18 jam dengan satu pengecasan penuh, dan jika ia benar, ini bermakna bahawa tablet ini boleh dikatakan sebuah tablet yang benar-benar boleh digunakan untuk tugasan harian sepanjang hari, dan anda tidak perlu membawa pengecas tablet ini kemana-mana sahaja anda pergi.

Satu lagi ciri yang cukup menarik mengenai Surface Book ini, pada pendapat saya ialah paparan skrin PixelSense yang bukan sahaja hadir dengan resolusi paparan yang tinggi, tetapi juga output warna yang cukup terang-benderang.

Paparan PixelSense ini bukan sahaja cukup bagus untuk permainan video, malah boleh juga digunakan oleh pereka dan artis digital profesional yang mementingkan output warna yang tepat. Paparan PixelSense ini hadir pada kesemua peranti terbaru Microsoft Surface, tetapi untuk mereka yang mahukan paparan yang bersaiz besar, hanya Surface Book 2 sahaja yang hadir dengan paparan bersaiz 15.0 inci.

Penutup

Berdasarkan spesifikasi dalaman dan luaran sahaja, peranti Microsoft Surface Book 2 ini boleh dikatakan tablet berdasarkan sistem operasi Windows yang paling berkuasa di pasaran sekarang ini.

Bermula dari harga RM6899 untuk model 13.5 inci yang paling murah ke RM14,199 untuk model 15.0 inci dengan spesifikasi tertinggi, peranti Surface Book ini boleh dikatakan untuk mereka yang benar-benar memerlukan komputer yang sangat berkuasa dan juga kebolehan mudah-alih yang dipadankan dengan bateri yang tahan lama.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli peranti Microsoft Surface Book 2 ini, dibawah ialah spesifikasi dan tanda harga untuk model-model peranti ini:

  • RM 6,899: 13.5″ / Intel Core i5-7300U / Intel HD Graphics 620 / 8GB RAM / 256GB SSD
  • RM 8,899: 13.5″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1050 2GB / 8GB RAM / 256GB SSD
  • RM 11,199: 13.5″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1050 2GB / 16GB RAM / 256GB SSD
  • RM 10,799: 15″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB / 8GB RAM / 256GB SSD
  • RM 12,499: 15″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB / 16GB RAM / 512GB SSD
  • RM 13,399: 13.5″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1050 2GB / 16GB RAM / 1TB SSD
  • RM 14,199: 15″ / Intel Core i7-8650U / NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB / 16GB RAM / 1TB SSD

Peranti-peranti Microsoft Surface Book 2 ini boleh dibeli di kedai atas talian Lazada dan juga kedai-kedai pengedar Microsoft, akan tetapi, jika anda berminat untuk membeli model 13.5 inci dan 15.0 inci termahal di pasaran, yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GTX 1050/GTX1060 pada harga RM13,399 dan RM14,199, kedua-dua model ini hanya akan dijual di kedai Harvey Norman di pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd