Ahli Fizik Terkemuka, Stephen Hawking Meninggal Dunia

Ahli Fizik Terkemuka, Stephen Hawking Meninggal Dunia

Diterbitkan pada Mac 14, 2018 oleh .

Albert Einstein, Sir Isaac Newton, Werner Heisenberg, Enrico Fermi dan Richard Feynman adalah nama yang cukup besar dalam dunia fizik. Tetapi kami yakin nama mereka mungkin tidak sepopular Stephen Hawking yang cukup dikenali kerana walaupun mempunyai kecacatan akibat ALS, beliau masih tegar menghasilkan teori fizik yang mencabar. Ahli fizik ini akhirnya menghembuskan nafas terakhir beliau di awal pagi tadi.

Pemergian beliau pada usia 76 tahun akan mendatangkan impak yang besar terhadap dunia fizik teoretikal. Beliau mula mencipta nama di selepas mendapati lubang hitam memancarkan radiasi yang membolehkan ia dikesan di angkasa lepas.

Buku A Brief History of Time nukilan beliau pada tahun 1988 memegang rekod sebagai buku yang paling lama bertahan di dalam senarai jualan terhangat London Sunday Times selama 237 minggu. Sumbangan terbesar buku ini adalah mempopularkan Teori Big Bang sebagai asal usul kewujudan alam semesta kepada orang ramai sebelum terma ini dirosakkan oleh kumpulan K-Pop dan siri komedi yang tidak lucu.

Pada tahun 1963 beliau didapati menghidap penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS) dan hanya diberikan tempoh dua tahun untuk hidup. Nyawa beliau masih panjang dan walaupun lumpuh serta hilang kemampuan bersuara pada tahun 1984, masih mampu menghasilkan kajian sains. Beliau kemudian diberikan kemampuan “bercakap” menerusi perisian suara yang menggunakan sebuah komputer Apple II. Sistem percakapan baru beliau kemudian dihasilkan oleh Intel tetapi beliau berkeras menggunakan suara robot kerana ia adalah sebahagian dari identiti beliau.

Sejak kebelakangan ini beliau banyak memberikan amaran tentang kerosakan alam sekitar di tangan manusia. Malahan tahun lalu beliau memberikan tempoh masa  1000 tahun untuk manusia untuk berpindah dari bumi sebelum ia tidak lagi mampu menampung kehidupan. Cabaran mengkoloni alam semesta beliau ini disambut oleh insan seperti Elon Musk yang merancang misi ke planet Marikh seawal 2025.


TIPS & ULASAN