Lenovo Malaysia Melancarkan Siri Peranti ThinkPad X1 Baru Untuk Pasaran Malaysia

Lenovo Malaysia Melancarkan Siri Peranti ThinkPad X1 Baru Untuk Pasaran Malaysia

Diterbitkan pada Mac 14, 2018 oleh .

Siri peranti laptop dan tablet Lenovo ThinkPad boleh dikatakan diantara peranti yang paling digunakan di pejabat kecil dan besar, dan siri ThinkPad X1 merupakan peranti yang hadir dengan spesifikasi dan komponen-komponen yang paling berkuasa jika dibandingkan dengan peranti-peranti dalam kelas yang sama.

Hari ini, Lenovo Malaysia telah melancarkan beberapa peranti dibawah siri ThinkPad X1 yang terbaru, termasuklah Lenovo ThinkPad X1 Carbon, Lenovo ThinkPad X1 Yoga dan juga Lenovo ThinkPad X1 Tablet yang hadir dengan komponen-komponen yang terbaru dan paling berkuasa.

Laptop Lenovo ThinkPad X1 Carbon yang terbaru merupakan laptop X1 Carbon generasi ketiga yang hadir dengan spesifikasi-spesifikasi yang cukup berkuasa. Pertama sekali, ia masih mengekalkan paparan bersaiz 14 inci, dan kini, pengguna boleh memilih untuk menggunakan paparan IPS Full HD dengan ciri sesentuh, paparan IPS WQHD ataupun paparan IPS WQHD dengan sokongan HDR.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, ThinkPad X1 Carbon ini hadir dengan pilihan siri CPU Intel Core generasi kelapan Coffee Lake, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD sebesar 1TB. Dalam pada itu Lenovo juga menyatakan bahawa peranti ThinkPad X1 Carbon ini masih lagi laptop yang paling ringan didalam siri ini pada berat yang bermula pada 1.13kg sahaja,

Bagi mereka yang memerlukan sebuah laptop yang lebih fleksibel, Lenovo ThinkPad Yoga mungkin untuk anda. laptop ini boleh dipusing paparannya untuk dijadikan sebuah tablet tanpa perlu mencabut papan kekuncinya.

 

Ia hadir dengan saiz dan pilihan paparan yang sama dengan peranti ThinkPad X1 Carbon, dan dikuasakan oleh pilihan siri CPU Intel Core generasi kelapan Coffee Lake, pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga pilihan storan SSD sebesar 1TB.

Dengan peranti ThinkPad X1 Yoga ini, Lenovo juga memperkenalkan ciri dimana kekunci peranti ini akan tenggelam apabila ianya digunakan dalam mod tablet, untuk memastikan pengalaman penggunaan mod tablet tersebut tidak terkesan oleh kekunci-kekunci ini.

Peranti ThinkPad X1 terakhir yang diperkenalkan ialah Lenovo ThinkPad X1 Tablet, yang merupakan peranti baru didalam siri ini. Rekaan tablet ini boleh dikatakan seakan-akan tablet Microsoft Surface Pro, dan hadir dengan paparan sesentuh IPS 13.0 inci yang mempunyai resolusi 3000×2000 pixel.

Spesifikasi dalaman tablet ini juga boleh dikatakan lebih kurang sama dengan peranti X1 Carbon dan X1 Yoga, tetapi hadir dengan aksesori dan ciri-ciri yang cukup menarik seperti papan kekunci yang juga berfungsi sebagai penutup tablet, pena stylus dan juga ciri-ciri seperti penutup kamera ThinkShutter dan juga pengimbas cap jari yang menyokong teknologi log masuk Windows Hello.

Menurut Lenovo Malaysia lagi, peranti-peranti Lenovo ThinkPad X1 Carbon dan ThinkPad X1 Yoga generas baru ini sudahpun hadir di pasaran bermula hari ini (14 Mac 2018) pada harga permulaan RM7999 untuk ThinkPad X1 Carbon dan RM8999 untuk ThinkPad X1 Yoga. Bagi peranti Lenovo ThinkPad X1 Tablet pula, mereka berkata ia akan hadir di pasaran tempatan pada bulan April kelak pada harga yang akan ditetapkan.


TIPS & ULASAN