“Tokey, masuk buku ya!” Buku yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Buku 555. Sebelum wujudnya ciri mencatat nota dalam telefon pintar, Buku 555 ini sinonim dengan buku untuk mencatat hutang hutang peniaga. Kini, Buku 555 telah diberi nafas baru dimana aplikasi Buku 555 telah dicipta bagi memudahkan pengguna untuk mencatat hutang hutang mereka sekaligus mengingatkan kita kepada nostalgia zaman dahulu.
Sebelum dibawa ke paparan utama, anda perlu memasukkan 4 digit nombor PIN. Halaman utama untuk aplikasi ini membolehkan anda melihat senarai hutang yang dinamakan sebagai paparan “Kau Hutang”. Untuk menambah senarai hutang pengguna, anda hanya perlu menyentuh pada “Penghutang baru”. Selepas memasukkan maklumat penghutang baru seperti nama hutang, amaun hutang dan juga tarikh hutang, anda hanya perlu menyentuh pada ikon tambah untuk masukkan data tersebut ke dalam senarai “Kau Hutang”.
Pada paparan ini, anda boleh melihat senarai hutang pengguna yang belum diselesaikan. Aplikasi ini mempunyai ciri dimana anda boleh menyusun senarai hutang mengikut tarikh, nama dan juga amaun hutang mereka. Untuk menukar maklumat hutang, anda boleh menyentuh pada nama hutang yang ingin diubah dan anda akan dibawa ke antaramuka di mana terdapat ciri untuk membuang hutang tersebut daripada senarai hutang, menanda hutang sebagai sudah dibayar dan juga menyimpan maklumat yang telah diubah. Di paparan ini juga, pengguna boleh meletakkan maklumat tambahan terhadap hutang tersebut.
Untuk paparan “Orang Hutang” pula, antaramuka yang digunakan adalah sama dengan antaramuka “Kau Hutang” dimana paparan ini membolehkan pengguna menambah senarai pemiutang, menyusun senarai dan mengubah maklumat pemiutang.
Untuk paparan “Semua Sekali”, ia menunjukkan ringkasan hutang pengguna dan jumlah amaun yang perlu diselesaikan kepada penghutang dan juga pemiutang. Selain itu juga, paparan ini menunjukkan data terdahulu yang telah selesai dan maklumat tersebut boleh diubah sekiranya anda mahu. Namun, sekiranya anda membuang data hutang daripada senarai, data tersebut tidak akan dipaparkan di halaman ini lagi.
Konklusinya, aplikasi ini sangat ringkas dan mudah digunakan dimana anda hanya perlu mencatat maklumat hutang dan penggunaan bahasa yang digunakan juga mudah difahami sekaligus membuatkan pengguna merasai pengalaman seperti mencatat maklumat sama seperti Buku 555 yang asal.
Pengalaman menggunakan aplikasi ini mengingatkan kita kepada nostalgia lama yang hadir dengan nafas baru. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan juga Apple Store.