Cari @ Amanz

Di dada akhbar dan muka depan laman berita kini penuh dengan laporan penipuan Macau Scam. Ramai individu kehilangan wang simpanan bernilai jutaan ringgit kerana menjadi mangsa. Di dalam dunia penuh penipuan, tiba masanya teknologi digunakan untuk menentang semula penipu durjana yang licik. Antara aplikasi yang boleh dicuba untuk menyaring panggilan penipu ini ialah Truecaller.

Truecaller adalah aplikasi membuat panggilan telefon yang dilancarkan pada tahun 2009. Fokus aplikasi ini adalah untuk mencari, mengesan dan menyekat panggilan telefon dari penipu secara automatik.

Tahun 2018, Truecaller juga mempunyai banyak perubahan dan ciri baru dengan mengekalkan fungsi utama mereka. Antara yang menarik untuk dicuba ialah Flash.


Pendaftaran Truecaller

Truecaller akan mengesan nombor telefon secara automatik dan akan membuat panggilan untuk mendaftar. Truecaller kemudian akan memberi pilihan sama ada pengguna ingin menyelarikan akaun Truecaller dengan Facebook ataupun Google.

Antaramuka

Antaramuka yang digunakan agak mudah difahami dan juga mudah untuk digunakan. Talam di bawah terdapat tiga fungsi iaitu Mesej, Dialer, dan Kenalan. Bahagian atas terdapat talam carian yang dinamakan Truecaller Search yang membenarkan pengguna mencari nombor telefon secara terus ataupun melalui lokasi. Tatalan ke kiri akan memaparkan beberapa tetapan, bantuan, ruang notifikasi, profile dan juga kamera carian.

Di bahagian sejarah panggilan, gambar profil pada nombor yang telah diterima atau pun dibuat panggilan akan terdapat ikon hijau dan kilat. Ikon hijau memaparkan pengguna-pengguna Truecaller dalam talian dan ikon petir memaparkan kebolehan menghubungi pengguna Truecaller melalui fungsi Flash.

Flash

Flash ialah fungsi menghubungi pengguna-pengguna Truecaller dengan menghantar emoji ataupun teks ringkas.

Sekatan Panggilan

Jika di dalam pangkalan data Truecaller terdapat pengguna-pengguna mereka telah menetapkan nombor telefon sebagai penipu, Truecaller akan memberi notifikasi sama ada pemanggil tersebut adalah penipu ataupun tidak. Aplikasi Truecaller juga mampu menetapkan mematikan panggilan daripada penipu secara automatik.

Identified

 

Identified ialah ruang yang memaparkan nombor telefon yang sudah diiktiraf oleh Truecaller sebagai bukan penipu. Ia memaparkan berdasarkan sejarah panggilan dan senarai kenalan.

Tetapan

Di dalam tetapan aplikasi Truecaller terdapat banyak fungsi menarik. Antara fungsi menarik adalah seperti berikut:

  1. Memuat turun gambar profil secara automatik.
  2. Menetapkan notifikasi dan peringatan membuat panggilan semula.
  3. Tetapan sekatan panggilan.
  4. Menukar tema.
  5. Membuat sandaran data-data Truecaller ke storan awan.

Fungs-Fungsi Lain

Terdapat kemampuan menaik taraf ke versi Profesional yang membuang iklan, mendapat lencana Pro dan kebolehan permohonan 30 nombor sebulan. Harga versi Profesional ini ialah RM3.90 sebulan dan RM34.90 setahun.

Aplikasi permesejan anti-spam terbina juga disertakan. Ia mengumpulkan SMS di dalam satu ruang dan turut memaparkan jika SMS itu pernah dilaporkan sebagai spam ataupun tidak.

Profil kenalan yang tampak kemas dan apabila menerima panggilan terdapat pop-up Caller ID memaparkan profil kenalan tersebut. Profil kenalan ini juga boleh dikumpulkan dalam kumpulan melalui tags.


Truecaller sangat membantu dalam menyekat panggilan-panggilan daripada penipu. Bagi yang ingin mencuba boleh terus memuat turun aplikasi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd