Kilang Memori NAND Samsung Mengalami Gangguan Bekalan Elektrik – Memotong Bekalan Memori Dunia Sebanyak 3.5 Peratus

Kilang Memori NAND Samsung Mengalami Gangguan Bekalan Elektrik – Memotong Bekalan Memori Dunia Sebanyak 3.5 Peratus

Diterbitkan pada Mac 15, 2018 oleh .

Samsung mungkin terkenal untuk peranti-peranti pintar dan peralatan elektronik mereka, tetapi mereka juga bertanggungjawab untuk membekal komponen-komponen seperti paparan dan cip memori yang digunakan dalam banyak peranti-peranti lain.

Pada 9 Mac yang lalu, sebuah kilang memori Samsung di Pyongtaek dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik, dan oleh kerana itu, kilang tersebut tidak mampu mengeluarkan sejumlah cip memori NAND yang digunakan didalam banyak peranti pintar, dan ia juga dikatakan bahawa masalah gangguan elektrik tersebut menyebabkan pasaran dunia mengalami kekurangan cip NAND sebanyak 3.5 peratus.

Dalam erti kata lain pula, oleh kerana masalah gangguan elektrik ini, output cip memori NAND terpotong sebanyak 11 peratus pada bulan ini, dan menyebabkan 60,000 daripada wafer cip NAND ini rosak, dan tidak boleh digunakan lagi.

Buat masa ini, Samsung belum mengulas samada masalah ini akan memberi sebarang kesan kepada harga cip memori NAND apabila ia akan dipasarkan tidak lama lagi. Ini mungkin kerana banyak pembuat cip NAND lain dilihat akan meningkatkan kadar pembuatan cip NAND mereka tidak lama lagi.

Malah, Samsung sendiri akan meningkatkan pengeluaran cip NAND mereka apabila penaiktarafan kilang mereka di Xi’an, China lengkap tidak lama lagi. Kilang tersebut kini mengeluarkan 120,000 wafer cip NAND sebulan, dan sebulan selepas penambahbaikan tersebut, ia dijangka akan mengilang 320,000 wafer sebulan.


TIPS & ULASAN